KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin sepatutnya mempertahankan sebuah penyatuan yang dibina.
Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perpaduan dan kesatuan yang dibina menerusi sebuah kerajaan sepatutnya dipertahankan.
Tambah beliau, asas kepada perpaduan adalah kejujuran dan sekiranya perkara tersebut tidak ada Takiyuddin menyifatkannya sebagai sebuah konspirasi.
“Legasi paling murni seorang pemimpin sejati adalah merangka dan mempertahankan penyatuan dan perpaduan dalam masyarakat dan negaranya.
“Perpaduan perlu diasas atas kejujuran, jika tidak ia adalah tidak lebih baik daripada satu konspirasi,” ciapnya.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi semalam yang mengajak Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri sekiranya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal menunaikan tuntutan berkaitan Belanjawan 2021.
Puad berkata tiga atau lima Ahli Parlimen yang menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah cukup untuk membuktikan protes kepada tuntutan yang gagal ditunaikan.
Katanya, meskipun Belanjawan 2021 telah lulus namun rakyat belum lega kerana masih berhadapan dengan syarat untuk mengeluarkan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi i-Sinar dan mendapat kemudahan moratorium pinjaman bank.
Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 diluluskan di Dewan Rakyat selepas bacaan kali ketiga pada 15 Disember yang lalu menerusi undi belah bahagian menyaksikan 111 wakil rakyat menyokong, 108 menolak dan satu tidak hadir. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan