HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Disember 2020

KATA MP | Lantik Dzulkefly ketuai majlis nasional tangani Covid-19

Malaysiakini

KATA MP | Sudah tiba masanya untuk kerajaan mengambil pendekatan melibatkan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat memandangkan negara mecatatkan rekod tertinggi untuk kes baru Covid-19 semalam semalam.

Dengan 2,335 kes baru itu ia menjadi bukti kegagalan strategi semasa diambil kerajaan untuk mengawal lonjakan gelombang ketiga wabak Covid-19.

Malah ini menunjukkan kita tidak jauh dari unjuran Institut Ukuran dan Penilaian Kesihatan (IHME) AS yang menjangkakan 2,987 kes baru harian dicatatkan pada 1 Januari 2021 dan 5,379 jangkitan setiap hari menjelang 21 Mac 2021.

Tujuan model ini adalah untuk menjadi peringatan kepada kemungkinan kes senario terburuk yang berlaku dan betapa perlunya tindakan pemulihan segera diambil supaya kita tidak terus mencatatkan lebih banyak kes.

Model IHME mengunjurkan peningkatan berterusan kes Covid-19 di Malaysia hingga pertengahan Mac 2021 dengan mencatatkan lebih 5,000 jangkitan setiap hari bermula 25 Feb 2021.

Ia meramalkan 2,987 kes Covid-19 baru direkodkan setiap hari pada 1 Januari dan meningkat menjadi 4,176 kes pada 1 Feb sebelum bertambah kepada 5,130 kes pada 1 Mac.

Trend ini dijangka meningkat hingga 21 Mac dengan 5,379 jangkitan pada hari itu sebelum menurun sedikit kepada 5,301 kes pada 1 April.

Mengikut model IHME, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia pada akhir Mac nanti ialah adalah sekitar 400,000 kes. Jika menjadi kenyataan ia akan menempatkan Malaysia dalam kelompok antara 30 hingga 40 negara paling tertinggi kes Covid-19 di dunia.

Kedudukan tinggi di Asia

Pada waktu wabak ini mula menular di China dulu Malaysia berada di kedudukan 50 negara lain tetapi kini kita mengatasi negara itu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 103,900 kes.

Ia meletakkan Malaysia berada di kedudukan ke-75 berbanding negara lain di dunia sedangkan China di tempat ke 80 dengan jumlah kes keseluruhan sebanyak 86,933.

Hari ini, kita mungkin berada di kedudukan ke-74 apabila kita mengatasi Paraguay pula.

Pada 1 Jun tahun ini, indeks "jumlah kes per sejuta penduduk” di Malaysia ialah sebanyak 243. Hari ini, ia meningkat 12 kali lebih tinggi, iaitu 3,032 berbanding China yang mencatatkan 58 mengikut indeks yang sama pada 1 Jun.

Sekarang indeks itu di China meningkat sedikit menjadi 60.

Sebenarnya Malaysia mempunyai indeks jumlah kes per sejuta penduduk lebih tinggi daripada kebanyakan negara lain di Asia kecuali Singapura (9,965) dan Filipina (4,253).

Di Asia, kita mempunyai indeks yang lebih tinggi berbanding Jepun (1,691), Korea Selatan (1,090) dan Taiwan (33).

Di Asean, kita mencatatkan indeks yang lebih tinggi berbanding Indonesia (2,571). Indeks di negara lain Asean ialah Thailand (86), Vietnam (15), Kemboja (22) dan Laos (6).

Di seluruh dunia, jumlah keseluruhan kes Covid-19 secara global melebihi 80 juta orang dengan lebih daripada 1.7 juta orang maut kerananya.

Jumlah terkumpul semasa kes global ialah lebih daripada 683 kali daripada 118,000 kes di seluruh dunia ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020. Dan wabak ini terus melonjak mencatatkan rekod suram baru, sama ada dengan jumlah kes terkumpul atau peningkatan kes jangkitan harian.

Sebagai contoh, pada 11 Mac lalu peningkatan harian kes Covid-19 global adalah 11,384 kes. Ia terus bertambah kepada 736,079 kes pada 17 Dis dan pada kadar kenaikan ini, ia akan mencapai kenaikan satu juta kes setiap hari pada hujung suku pertama tahun depan.

AS - yang merupakan negara yang paling teruk terjejas dengan jumlah kes terkumpul tertinggi - akan mencatatkan lebih 20 juta kes menjelang akhir tahun. Ia mungkin mencatatkan 25 juta kes menjelang hari Joe Biden mengangkat sumpah sebagai presiden ke-46 AS.

Rancang pemulihan segera

Perayaan Krismas tahun ini disambut dengan suram di seluruh dunia, dengan peningkatan kes Covid-19, penemuan jenis Covid baru dan sekatan perjalanan di seluruh dunia.

Menteri Kesihatan Korea Selatan, Kwon Deok-cheol, berkata negara itu "berada di persimpangan gelombang ketiga" apabila mencatatkan peningkatan kes baru harian kedua tertinggi - 1,132 kes - pada Hari Krismas, dan 1,241 kes pada malam Krismas.

Tetapi Korea Selatan berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding Malaysia kerana mereka mencatatkan 55,902 kes Covid-19 setakat ini dan berada di kedudukan ke-87 dalam kalangan negara lain di dunia berdasarkan jumlah kes terkumpul.

Kes harian tertinggi di negara tersebut ialah 1,241 manakala di Malaysia rekod tertinggi harian setakat ini ialah 2,335 kes yang berlaku semalam.

Ia meletakkan Malaysia di tempat ke-75 berbanding negara lain.

Malaysia perlu menyemak semula strategi yang diambil untuk mengawal gelombang ketiga Covid-19 ini.

Malangnya kita mempunyai menteri kesihatan yang tidak memainkan peranan secara berguna dalam perang melawan wabak berkenaan.

Justeru sebuah majlis kebangsaan mengenai Covid-19 ini perlu dibentuk segera dan wajar diketuai mantan kenteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, bagi menerajui strategi dan pendekatan melibatkan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat.

Ia boleh merancang pelan pemulihan segera negara kita daripada bencana wabak Covid-19 ini.


(*) LIM KIT SIANG ialah ahli parlimen Puteri Iskandar, Johor.

Tiada ulasan: