HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Disember 2020

Jangan ubah hanya kerana mahukan perubahan - Masing.

Astro Awani
Jangan ubah hanya kerana mahukan perubahan - Masing
Masing dalam perutusan tahun baharunya mengingatkan rakyat Sarawak 
untuk mengambil pengajaran daripada kegagalan kerajaan sebelum ini 
yang hanya mampu mentadbir negara dalam tempoh singkat. - Foto Astro 
AWANI.
 
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) akan berlangsung sebelum Jun 2021.
 
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mengambil alih mandat daripada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem telah melakukan sedaya yang mampu bagi memacu ekonomi dan pembangunan Sarawak.
 
Justeru Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing mahu rakyat negeri itu untuk terus beri mandat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk pastikan kesinambungan usaha ini tidak terhenti.
 
“Rakyat perlu bijak dalam melihat kemajuan ekonomi dan pembangunan yang telah dikecapi dibawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2021.
 
Masing turut mengingatkan rakyat Sarawak untuk mengambil pengajaran daripada kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya mampu mentadbir negara dalam tempoh singkat.
 
“Pentadbiran 22 bulan kerajaan PH perlu dijadikan iktibar kepada seluruh rakyat Malaysia.
 
“Jangan ubah (kerajaan) hanya kerana mahukan perubahan,” pesannya.
 
Menyentuh mengenai ancaman COVID-19 Masing yang juga Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan berkata Kerajaan Sarawak sentiasa prihatin dalam memastikan rakyat tidak terjejas teruk sama ada dari segi sosial mahupun ekonomi.
 
“Bagi pastikan social dan ekonomi Sarawak kekal terpelihara, politik perlu stabil.
 
“Justeru GPS perlu kembali supaya pembangunan ini dapat diteruskan,” ujarnya.
 
Masing turut mengingatkan rakyat Sarawak untuk terus menerapkan norma baharu dalam mengekang penularan wabak COVID-19 pada sambutan tahun baharu nanti.
 
Menurutnya, tahun depan akan diteruskan sebagai "tahun norma baharu".
 
Selain SOP harus sentiasa dipatuhi, Masing mengharapkan yang terbaik untuk semua rakyat sarawak untuk tahun 2021.

Tiada ulasan: