HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Disember 2020

MP Petaling Jaya kecewa kilang langgar SOP cuma didenda RM1,000

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, menyuarakan rasa terkejut dan berang selepas sebuah kilang sarung tangan di Pelabuhan Klang hanya dikenakan denda RM1,000 kerana melanggar SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hasil serbuan pada Khamis lalu. 

“Amat mengejutkan apabila pihak berkuasa hanya boleh mengenakan denda RM1,000 terhadap kilang sarung tangan di Pelabuhan Klang kerana melanggar SOP.

“Rakyat biasa pula pernah didenda sehingga RM8,000,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Maria apa yang lebih membimbangkan ialah syarikat korporat seperti itu melanggar SOP dan tidak mempedulikan keadaan kesihatan dan keselamatan pekerja mereka.

"Lebih membimbangkan apabila mengetahui korporat, tanpa mengira ukurannya, melanggar SOP dan tidak begitu peduli dengan keadaan kesihatan dan keselamatan pekerjanya.

"Denda bagi mereka yang melanggar (SOP) sepatutnya berperanan sebagai pencegahan dan ia penting agar ia dilaksanakan berdasarkan keseriusan tahap pelanggaran yang dilakukan, dan berdasarkan undang-undang, ia (denda) boleh dikenakan sehingga RM10,000,” katanya.

Dia menekankan beberapa kes termasuk anak syarikat pengeluar sarung tangan Brightway di Kajang yang terpaksa ditutup selama tujuh hari kerana tidak mematuhi SOP pencegahan Covid-19 awal minggu ini.

Perkara itu didedahkan dalam serbuan yang dijalankan pelbagai agensi penguatkuasa dan diketuai oleh Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

Serbuan itu menemui 781 pekerja tinggal dalam dua kontena setinggi tiga tingkat di belakang kilang berkenaan dan disifatkan Saravanan sebagai perhambaan moden serta tempat tinggal pekerja yang paling buruk pernah dilihatnya. 

Maria juga menegaskan dua pengeluar sarung tangan terkemuka lain - Kossan Rubber Industries dan Top Glove - mencatatkan lebih daripada 7,000 kes Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka.

Top Glove sedang berdepan dengan tindakan undang-undang kerana melanggar SOP yang menyebabkan 28 cawangannya terpaksa menghentikan operasi selepas ribuan pekerjanya didapati positif Covid-19.

Maria berkata apa yang berlaku menunjukkan terdapat keperluan mendesak dalam sistem pemantauan yang lebih efektif bagi memastikan syarikat mematuhi SOP terhadap pekerja mereka.

Katanya, apa yang berlaku terhadap beberapa syarikat sarung tangan lain yang didapati bersalah sebelum ini mesti dijadikan pengajaran oleh syarikat lain untuk menjadikan premis mereka tempat yang lebih baik dan menggalakkan prestasi pekerja mereka.

Tambahnya, negara kini mempunyai peluang mewujudkan semula persekitaran yang lebih adil, kondusif dan sihat untuk pekerja, yang juga boleh mengukuhkan organisasi mereka.

Tiada ulasan: