Ipoh: Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menafikan perlantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Baru, Datuk Abd Manaf Hashim sebagai Penasihat Khas Menteri Besar bertaraf exco sebagai suatu bentuk imbuhan.
Saarani menafikan perlantikan itu sebagai imbuhan kerana membawa usul undi percaya terhadap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ini yang menyaksikan pengunduran Ahmad Faizal dari jawatan Menteri Besar.
Beliau berkata, sebaliknya perlantikan Abd Manaf dilihat kepada kebolehan beliau khususnya dari sudut kekananan (seniority) selaku Adun selain menepati kriteria terutama pengalaman dalam sektor korporat termasuk pernah menjadi ahli lembaga pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Imbuhan apa? Takda imbuhan… Takda… perlantikan itu biasa saja kerana tempat (jawatan penasihat khas) itu sudah dikosongkan oleh Datuk Zainol (Datuk Zainol Fadzi Paharudin). Jadi saya perlu isikan jawatan itu dengan orang yang layak pada pendapat kita.
"Berasaskan pengalaman itu kita lantik dia (Abd Manaf), itu saja. Kita yakin kepada kebolehan beliau," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pra pelancaran Kempen Penanaman 100 juta Pokok peringkat negeri di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, di sini, hari ini.
Turut hadir, Zainol Fadzi yang kini dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, dan Pengarah Perhutanan negeri Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop.
Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin itu, namun menolak andaian bahawa ianya berniat jahat.
Terdahulu, usul undi percaya yang dibawa Abdul Manaf yang juga Adun dari Umno menyaksikan Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti daripada 59 Adun apabila hanya 10 yang menyokong usul itu sementara 48 yang lain menolaknya selain satu undi berkecuali.
Dalam pada itu itu, ketika ditanya reaksinya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perak mengenai gesaan Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kepada Pas sama ada mahu bersama Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN), Saarani berkata, ia mungkin untuk memudahkan perancangan dibuat selain mengelakkan kesilapan lama berulang.
"Saya fikir kerana dia (Tajuddin) perlukan hala tuju jelas untuk mengelakkan kelemahan dan kesilapan seperti sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu sehingga akhirnya kita dapati Pas tercicir memandangkan pada masa itu Pas mengharapkan MN sedangkan tiada MN di Sabah.
"Jadi Pas berunding dengan Bersatu pada masa itu. (Itulah) jika tiada hala tuju jelas takut Pas tercicir lagi sebagaimana berlaku di Sabah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan