HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Disember 2020

Perubahan perlu dilakukan! Negara perlu pimpinan muda terajui politik

Siti Hafidah

 

Peranan anak muda makin signifikan dalam pembangunan negara

BANGI – Serentak dengan era globalisasi dan digital, peranan anak muda dilihat semakin signifikan dalam pembangunan negara ini.

Sehubungan itu, Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA) mengalu-alukan saranan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah supaya anak muda berani ke depan dan menunjukkan kredibiliti mereka untuk diangkat menjadi wakil rakyat mahupun pemimpin apabila diberikan peluang.

Sebelum ini, wakil rakyat paling lama berkhidmat di Malaysia itu memberi gambaran yang beliau bersedia untuk berehat daripada politik jika tidak diperlukan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

“Kita (bersedia) berehatlah… terpulang kepada parti untuk langkah seterusnya (jika khidmat tidak perlukan).

“Anak muda sebagai pelapis pemimpin perlu ke depan, perjuangkan apa yang perlu dilakukan supaya perubahan dapat dibuat secepat yang boleh. Banyak benda boleh dibuat daripada menanti perubahan sahaja. Negara lain sudah berubah, kenapa kita tidak boleh,” katanya.

Mengulas perkara itu, Ketua Penerangan ANGKASA, Asyraf Badhrul berkata, bagi pihaknya perubahan atau ‘shift’ politik kepada pimpinan muda amat dialu-alukan.

“Selari dengan apa yang berlaku di negara maju pun, kita boleh lihat semakin ramai pemimpin muda yang meneraju politik negara masing-masing.

“Terutama dalam era globalisasi dan digital, peranan anak muda nampak semakin signifikan dalam pembangunan negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Bagaimanapun bagi Asyraf, golongan senior tidak akan dilupakan kerana mereka masih penting terutama untuk nasihat pimpinan muda dalam urusan tadbir negara.

“Bagi ANGKASA dan BERJASA, memang menjadi aspirasi untuk membangunkan anak muda dalam parti untuk jadi pemimpin negara Malaysia di masa hadapan,” katanya.

Tiada ulasan: