HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Disember 2020

Akar umbi tentukan sokongan UMNO terhadap PN

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
SAARANI Mohamad (dua dari kanan) memegang logo Penghijauan Malaysia sebagai simbolik Pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok peringkat Perak di di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH: Sokongan UMNO terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) bergantung kepada suara akar umbi yang akan menyatakan pandangan mereka mengenai perkara itu dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian bermula 1 Januari ini.

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, mesyuarat perwakilan bahagian tiga hari itu dihadiri  semua ketua cawangan UMNO serta wakil-wakil cawangan yang merupakan pemimpin akar umbi.

Beliau berkata, pemimpin akar umbi ini akan memberikan pendapat dan pandangan mereka berhubung sokongan UMNO terhadapat kerajaan PN dalam mesyuarat tersebut.

“Selepas itu Majlis Tertinggi UMNO bersidang pada 6 Januari yang sudah tentunya mengambil kira ucapan-ucapan yang akan dilontarkan dalam mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing, sebab kita menghormati pendapat dan pandangan akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok peringkat negeri di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, di sini hari ini.

Beliau mengulas desas-desus akar umbi UMNO akan membawa usul meminta pucuk kepemimpinan parti itu menarik semula sokongan terhadap kerajaan PN dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri bermula Jumaat ini.

Berhubung mesyuarat perwakilan bahagian UMNO di Perak, Saarani yang juga Menteri Besar berkata, mesyuarat semua bahagian di negeri ini  diadakan sama ada Sabtu atau Ahad ini.

“Dalam mesyuarat perwakilan berkenaan, ketua bahagian akan menyampaikan ucapan dasar yang melontarkan hala tuju bahagian masing-masing, jadi perbahasan menjurus kepada perkara yang berkaitan ucapan dasar ketua bahagian,” katanya.

Sementara itu, mengenai kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang meminta agar Pas segera membuat keputusan yang jelas sama ada mahu bersama Muafakat Nasional (MN) atau PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), beliau berkata, perkara itu perlu untuk memudahkan UMNO membuat perancangan.

Menurutnya, sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO bagi menghadapi PRU-15, Tajuddin perlu tahu kawasan mana ada kerjasama UMNO dan Pas dalam MN atau kerjasama Pas hanya dengan Bersatu dalam PN.

“Tajuddin perlukan satu hala tuju yang jelas, barangkali kerana tak mahu ulangi kelemahan dan kesilapan yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang mana Pas tercicir disebabkan di Sabah tiada MN,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: