HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 Februari 2021

Bagaimana kalau Zahid digantikan dengan Muhyiddin?

Oleh NORMAN AHMAD
 

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, jarang menghiasi dada akhbar atau media cetak, mahupun dilihat muncul di kaca televisyen.

Beliau yang mesra dipanggil Tok Mat memang dikenali sebagai pemimpin yang tidak banyak cakap.

Sukar ditelah adakah kerana memang peribadinya seorang yang berat mulut, atau Tok Mat enggan dilihat cuba menonjolkan diri secara keterlaluan.

Sementelah bosnya dalam parti iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kini berhadapan puluhan pertuduhan kes di mahkamah, selain terpalit dengan isu menandatangani dan menyerahkan surat menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Ramai melihat kepimpinan Tok Mat cukup menyerlah ketika beliau memegang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan. Namanya disebut-sebut sebagai calon yang sesuai menerajui UMNO dan membawa imej baharu buat parti Melayu terbesar dan keramat itu. Bersih, tanpa skandal.

Namun Tok Mat nampaknya memilih untuk tidak menonjolkan diri. Ketika beliau diharapkan tampil memulihkan imej parti itu setelah kekalahan teruk Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, Tok Mat dilihat ‘play safe’ dengan terus setia di belakang Presidennya.

Apabila beberapa pemimpin muda bahagian dengan berani menyuarakan keresahan mereka terhadap kepimpinan Presiden UMNO yang dikhuatiri akan terus ‘menghumban’ parti itu ke lembah kekalahan dalam PRU akan datang, Tok Mat tiba-tiba ‘membuka mulut’ bersuara mempertahankan Zahid.

Dalam hantaran Facebooknya yang dimuat naik pada 26 Januari lalu, beliau menegur tindakan ahli UMNO mendesak pengunduran Zahid dengan menyifatkannya sebagai budaya tidak sihat dalam parti.

Saya meneliti satu persatu teguran Tok Mat dan saya bersetuju dengan pandangan beliau. Memang lemparan kata nista dan dan kurang sopan yang berleluasa terutama di media sosial sekarang, bukannya budaya atau adab susila orang Islam dan Melayu.
Saya setuju sangat dengan Tok Mat dalam hal ini.

Cuma, alangkah baiknya jika teguran Tok Mat itu bukan dibuat hanya untuk membela Zahid, sebaliknya secara umum untuk semua. Tegurlah untuk kebaikan bersama. Barulah nampak keikhlasannya untuk semua rakyat dan negara.

Sebagai eksperimen, cuba kita gantikan perkataan UMNO yang Tok Mat gunakan dengan Malaysia/negara/kerajaan, manakala Presiden parti atau Zahid dengan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin). Cuba kita lihat contohnya:

“Saya telah melihat kemunculan budaya yang tidak sihat dalam negara kebelakangan ini dalam cara kita mendesak pengunduran Perdana Menteri.

Pelbagai perkataan nista dan kurang sopan digunakan dalam desakan tersebut. Ini bukan budaya dan nilai Malaysia. Malah ini bukan adab dan susila kita sebagai orang Islam dan Melayu.

Pesan saya, janganlah sesekali kita terkurang hormat kita kepada institusi Perdana Menteri, yang wajar disantuni dengan sopan dan tata susila sebaiknya. Kita boleh berbeza pandangan, aspirasi dan citra kerana Malaysia itu nilainya demokratik, tetapi janganlah sampai ia membawa kepada sengketa yang akhirnya memecahbelahkan negara.

Pepatah Melayu berpesan; Menurut Biar Berakal, Menentang Biar Beradab.

Saya menyeru untuk semua kita kembali kepada kesatuan dalam negara Malaysia dengan saling mendamaikan antara satu sama lain.

Sedikit bibit perpecahan antara kita, akan memberi peluang kepada lawan kita untuk meretakkan negara dengan sebesar-besar keretakan dan perpecahan. Jangan sesekali kita membuka ruang untuk persahabatan dan setiakawan dalam negara diadu domba, sehingga kita menjadi berseteru antara satu sama lain.

Tiada siapa yang akan untung atas perpecahan Malaysia dan tiada siapa juga yang akan menang. Sama lebur sama binasa. Kekhuatiran saya ialah akhirnya, yang akan menjadi korban ialah negara dan bangsa Melayu.

Justeru untuk kesekian kalinya saya titipkan hikmah Melayu yang berbunyi, …”antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang akan kenyang”…

Saya menyeru kita semua bangunkan era baru untuk Malaysia dengan kesatuan dan muafakat. “Serumpun bak serai, sesusun bak sirih. Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk”.

Era di mana perbezaan kita diuruskan dengan sopan, berhikmah dan melalui jalan yang disepakati. Era di mana negara diperkuatkan dengan iltizam untuk memperjuangkan kepentingan Malaysia, Melayu, Islam dan Demokrasi sebagai keutamaan dalam semua yang utama.

Dan akhirnya, era di mana pemimpin dihormati sebagai jurucakap sebenar rakyat Malaysia dan bangsa Melayu dan bukannya parti yang rakus dengan kuasa dan kedudukan.”

Alangkah baiknya, kalau itu yang disarankan oleh Tok Mat untuk semua rakyat Malaysia dan negara. Barulah menonjol kewibawaan beliau sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat dan mementingkan kebajikan negara.

*Tulisan ini adalah pendangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.

Tiada ulasan: