HALAMAN SANTAI

Ahad, 14 Februari 2021

Kawasan pembangkang tidak akan dipinggir, kata Bung

Bung Moktar (dua dari kanan) menyerahkan bantuan bakul makanan dan 
pelitup muka kepada wakil penduduk di Kamping Antilibon. (Gambar KKR Sabah)

TONGOD: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin berkata, kerajaan tidak akan meminggirkan keperluan pembangunan di kawasan yang diwakili pembangkang.

Beliau berkata, kerajaan mempunyai mekanisme untuk menyalurkan peruntukan pembangunan yang diperlukan rakyat di kawasan terlibat.

“Peruntukan akan disalurkan ke Pejabat Daerah atau jabatan berkaitan untuk diselaraskan seterusnya dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan bakul makanan dan pelitup muka kepada penduduk di Kampung Antilibon dan Keramuak, di sini.

Bung, yang juga menteri kerja raya berkata, kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus mengenal pasti masalah yang dihadapi rakyat dan seterusnya mencari jalan untuk menyelesaikannya.

Katanya, sejak mengambil alih tampuk pemerintahan selepas pilihan raya negeri (PRN) lalu, tumpuan utama kerajaan adalah untuk melaksanakan pembangunan di samping menitikberatkan aspek kebajikan serta kesejahteraan rakyat.

“Kita tidak mahu melihat rakyat susah, terus dibelenggu dengan masalah ketinggalan dalam aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi dan pendidikan,” katanya.

Terdahulu, 405 keluarga dari 12 di mukim Kampung Antilibon dan 250 keluarga di Kampung Keramuak menerima sumbangan bakul makanan dan pelitup muka.

Dalam pada itu, Bung berkata, pihaknya akan memberi perhatian terhadap keperluan pembangunan seperti menambah baik sistem jalan perhubungan, bekalan air, elektrik serta sistem komunikasi di dua kampung itu.

“Mengenai sistem perhubungan jalan raya ke kampung ini saya meminta jurutera daerah mengenal pasti jalan yang perlu diperbaiki dan dinaik taraf.

“Kita akan laksanakan kerja-kerja itu secara berperingkat mengikut peruntukan yang mampu disediakan kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan: