HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Februari 2021

Rasuah dan pemerintah Malaysia di abad 21

Datuk Dr Ruhanie Ahmad

 
PILIHAN RAYA Umum 14 (PRU14) membuktikan bahawa sesebuah kerajaan di Malaysia di abad 21 akan kehilangan kuasa jika ia terlibat dengan rasuah, skandal kewangan atau salahguna kuasa.

Ini disebabkan pengundi Malaysia menyifatkan rasuah sebagai jenayah yang mengancam keselamatan politik nasional dan kelangsungan sesebuah pemerintahan.

Lantaran itu, antara pra-syarat utama kelangsungan sesuatu pemerintahan negara mutakhir ini adalah kesungguhannya dalam membanteras rasuah, skandal kewangan dan salahguna kuasa.

Namun rasuah bukan hanya melibatkan ahli politik. Ia juga membabitkan penjawat awam semua sektor, termasuk penggubal undang-undang, penguatkuasa undang-undang, pentadbir undang-undang dan lain-lainnya.

Pembanterasan rasuah pula bukan hanya menerusi sistem tadbir urus yang baik, bahkan menerusi pemupukan gaya hidup sederhana, penerapan nilai-nilai keagamaan yang jitu serta penanaman semangat patriotisme yang tinggi.

Kajian saya mengenai rasuah empat tahun lalu mendapati, sistem tadbir urus yang cekap sahaja tidak menjamin keadaan sifar rasuah di kalangan perasuah, baik dalam sektor politik atau awam.

Sebaliknya, rasuah perlu juga dibanteras menerusi undang-undang yang tegas (dan mungkin juga zalim, seperti hukum tembak sampai mati yang dikuatkuasakan di China), atau menerusi undang-undang pencegahan seperti ISA.

Ini kerana jika pengedaran dadah adalah satu jenayah, pengamalan rasuah juga adalah jenayah kepada negara, bangsa dan negara.

Dalam konteks perasuah politik pula, pihak yang terlibat perlu dilucutkan jawatan serta merta sementara menunggu perbicaraan.

Jika sabit kesalahan, pihak terlibat perlu disenarai-hitamkan dan dilarang menyertai mana-mana parti politik di hari muka.

Akhir kata, rakayat Malaysia perlu dididik supaya tidak bersimpati dengan kalangan ahli politik yang terpalit dengan tuduhan rasuah sehingga mereka sudah benar-benar bebas daripada rasuah.— -BebasNews

Tiada ulasan: