Kuala Lumpur – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertikaikan pemberian komputer riba kepada 150,000 pelajar adalah sekadar satu pinjaman.
Syed Saddiq dalam kenyataan hari ini meluahkan sedih dan kecewa apabila menerima berita bahawa 150,000 komputer riba yang dijanjikan di dalam Belanjawan 2021 itu hanyalah dalam bentuk pinjaman.
“Maksudnya, 150,000 orang pelajar yang akan menerima komputer riba ini (sehingga hari ini masih belum diedarkan) perlu memulangkan semula komputer riba ini kepada kerajaan.
“Kalau saya rujuk laman rasmi inisiatif Cerdik ini, prosedur pemilikan komputer riba adalah mirip kepada program Skim Pinjaman Buku Teks. Komputer riba ini akan dipinjamkan kepada murid yang terpilih,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.
Syed Saddiq juga mempersoalkan sama ada pelajar itu akan komputer riba seperti Skim Pinjaman Buku Teks.
Beliau juga mempertikaikan sama ada selepas digunakan setahun, pelajar terbabit perlu memulangkannya semula.
“Kalau ada yang rosak atau isu lain, pelajar (yang memang dari keluarga susah) ini kena ganti?,” soalnya.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, ketika Barisan Nasional menjadi kerajaan, gabungan parti itu memperuntukkan RM450 juta untuk netbook dan bukan sebagai pinjaman.
“Jadi kenapa kerajaan sekarang buat pinjaman komputer riba? Sangat pelik cara begini. Kalau saya Ahli Parlimen Pembangkang yang raih dana dari rakyat Malaysia (sebab peruntukan Parlimen pembangkang dipotong) pun boleh beri terus kepada pelajar, kenapa kerajaan hari ni buat susah?
“Komputer riba mereka dapat itu pun bukannya mereka akan buang. Adik-adik mereka nanti pun dapat pakai dan guna di kemudian hari,” katanya.
Susulan itu, Syed Saddiq berkata beliau sangat hairan dan tidak faham mengenai hal pinjaman komputer riba itu.
Pada 6 Nov lepas, seramai 150,000 murid di 500 buah sekolah rintis dilaporkan akan menerima komputer riba bagi memudahkan proses pembelajaran dalam talian.
Bagi merealisasikan bantuan berkenaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan menyumbang RM150 juta yang akan disalurkan ke Tabung Cerdik.
Dalam pembentangan Belanjawan 2021 Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz juga berkata, bagi pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) yang mendapat Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), kerajaan akan bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menyediakan RM100 juta bagi pembiayaan Skim BSN MyRinggit-i COMSIS iaitu skim pinjaman komputer riba.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan