HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Mac 2021

Adun Sebatik serah SD tarik balik surat letak jawatan

Malaysiakini

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir menarik balik peletakan jawatan yang telah ditandatangani ketika bersumpah setia pada Warisan.

Hassan membuat penarikan balik itu melalui salinan akuan berkanun (SD) yang dihantar kepada Speaker Sabah Kadzim Yahya awal hari ini.

Hassan, yang telah meninggalkan Warisan dan menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS), semalam mendakwa sumpah setia itu tidak sah kerana dibuat di bawah paksaan.

Katanya, sekiranya dia tidak bersumpah, dia tidak akan dicalonkan oleh Warisan.

Kadzim dipetik oleh Free Malaysia Today (FMT) sebagai mengesahkan bahawa Hassan pagi ini telah menyerahkan SD untuk menarik balik surat peletakan jawatan itu.

Kata Kadzim, Hassan menyatakan hasratnya untuk kekal sebag Adun Sebatik.

Kadzim mengatakan bahawa dia perlu membincangkan perkara itu dari sisi undang-undang dengan Peguam Besar Negari Sabah esok sebelum membuat keputusan mengenainya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua juga mengatakan dia telah menyerahkan surat peletakan jawatan Hassan kepada Kadzim.

"Kami menyerahkan surat itu petang tadi," katanya ketika dihubungi.

Warisan dijangka menyerahkan surat peletakan jawatan yang telah ditandatangani Hassan sebelum ini kepada Gabenor Sabah Juhar Mahiruddin dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Dia boleh dakwa apa saja," katanya.

"Mahkamah akan memutuskan apakah surat itu (surat peletakan jawatan yang ditandatangani sebelum ini) sah atau tidak," tambah Loretto.

"Telah terbukti bahawa dialah yang mengangkat sumpah dan menandatangani surat itu. Ada video yang menunjukkannya. Jadi, apa lagi yang dapat kita lakukan? Tentu kita akan mengirimkan surat itu (kepada speaker)," katanya .

Dalam satu klip video yang tersebar selepas meninggalkan Warisan, Hassan bersumpah setia pada Warisan dan menjelaskan bahawa dia akan menandatangani surat peletakan jawatan yang akan dikemukakan sekiranya dia menyertai parti lain atau beralih sokongan daripada Warisan.

Hassan telah berpaling dari Warisan dan berikrar menyokong GRS pada Khamis minggu lalu. Dia juga mengatakan bahawa dia menyokong kepemimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Dia turut menuduh Warisan mengutamakan politik daripada kesejahteraan rakyat.

GRS adalah gabungan yang terdiri daripada Perikatan Nasional, BN, dan Parti Bersatu Sabah; yang kini mendapat sokongan 48 daripada 79 Adun di Sabah.

Tiada ulasan: