HALAMAN SANTAI

Jumaat, 12 Mac 2021

Agenda pecahkan undi Melayu hanya akan untungkan PH - Wan Saiful

Israr Khalid
Agenda pecahkan undi Melayu hanya akan untungkan PH - Wan Saiful
Jangan pecahkan undi Melayu, kata Wan Saiful. - Gambar fail/BERNAMA
 
KUALA LUMPUR: Semua parti di bawah payung Perikatan Nasional (PN) harus memastikan hanya akan berlaku pertembungan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.
 
Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, sesiapa yang mempunyai agenda untuk memecahkan undi Melayu dilihat sebagai ‘bekerja’ untuk PH dan hanya akan menguntungkan pihak lawan.
 
“Sebab realitinya kalau berlaku perpecahan kita tengok macam dalam PRU yang lepas, apabila Pas tidak berada sekali dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN), undi Melayu pecah, kami yang dalam PH yang menang.
 
“Sebab itu saya selalu sebut, bagi saya sesiapa saja yang membawa agenda memecahkan undi Melayu ini maka mereka secara langsung atau tidak langsung bekerja untuk memenangkan DAP dan PH,” katanya.
 
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada pengumuman UMNO dan Pas yang menyatakan pendirian untuk terus memperkukuh kerjasama menerusi Muafakat Nasional pada Rabu malam.
 
Pada masa sama, mesyuarat antara dua parti itu juga memaklumkan bahawa perhubungan UMNO-Pas dengan Bersatu yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan dirungkai kemudian.
 
Begitu pun kata Wan Saiful, dalam merangka strategi merebut kuasa di masa hadapan, adalah perlu untuk terus fokus kepada kerja merencana usaha bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus dijamin malah pertingkatkan.
 
Rakyat ketika ini sudah jelak dengan cerita-cerita politik, justeru katanya, komponen kerajaan perlu bergerak daripada itu dan sebaliknya membincangkan tentang apa lagi dasar kerajaan yang boleh ditambah baik.
 
“Sebenarnya kerajaan PN ni banyak perkara baik yang dilakukan, benda yang baik perlu diiktiraf dan benda yang tak betul tidak dapat dinafikan memang ada dan kita kena perbaiki.
 
“Perbincangan yang lebih sihat bagi saya adalah ‘moving away’ daripada perbincangan politik, kita balik kepada isu-isu dasar negara,” ujarnya.

Tiada ulasan: