HALAMAN SANTAI

Ahad, 7 Mac 2021

Ahmad Zahid dinasihat tidak hadir mesyuarat

Oleh NORLIZAH ABAS
AHMAD ZAHID HAMIDI

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menasihatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar tidak menghadiri sebarang mesyuarat untuk tempoh tertentu bagi membolehkan perbicaraan kes rasuahnya disambung pada 4 Mac ini tanpa gangguan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menyampaikan nasihat itu kepada peguam Hamidi Mohd. Noh yang mewakilinya selepas pihak pembelaan memaklumkan tertuduh tidak hadir pada perbicaraan yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Hamidi memberitahu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu perlu menjalani kuarantin Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama 10 hari bermula semalam.

Menurut peguam bela, anak guamnya merupakan kontak rapat kepada seorang pemimpin UMNO yang positif Covid-19 ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Janda Baik, Pahang Jumaat lalu.

Bagaimanapun Collin menegaskan, Mahkamah Tinggi mempunyai jadual untuk diikuti, yang mana ia akan menimbulkan gangguan sekiranya ada penangguhan selanjutnya.

“Tarikh yang ditetapkan oleh mahkamah adalah cukup untuk pihak pendakwaan menutup kes mereka, namun disebabkan perkara ini, mahkamah terpaksa mencari tarikh lain,” jelas Collin.

Beliau kemudian menetapkan tarikh perbicaraan baharu pada 4, 5, 18, 19 dan 26 Mac ini.

Mahkamah turut meminta pihak pembelaan memgemukakan bukti kebenaran merentas negeri kepada mahkamah selain bukti Ahmad Zahid menghadiri mesyuarat dan menjadi kontak rapat kepada pemimpin UMNO
tersebut.

Hamidi kemudian mengemukakan surat pekeliling yang mana anak guamnya diperlukan menghadiri mesyuarat itu daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Selain itu Hamidi turut mengemukakan surat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengecualikan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada sekatan merentas negeri.

Terdahulu dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran turut mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid yang melakukan rentas daerah dan negeri ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Perbicaraan kes ini adalah sama penting dengan urusan beliau yang lain, malah, tertuduh seolah-olah menggunakan alasan ini (kontak rapat) untuk tidak menghadiri perbicaraan mahkamah,“ katanya.

Menurut pihak pendakwaan, ini merupakan kali ketiga perbicaraan ditangguhkan ketika Ahmad Zahid menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19 sejak tahun lalu.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menghadapi 12 tuduhan pecah amanah jenayah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM117 juta.

Pendakwaan sebelum ini memanggil 90 saksi dan mempunyai lapan lagi sebelum menutup kesnya.UTUSAN

Tiada ulasan: