HALAMAN SANTAI

Ahad, 7 Mac 2021

Guna penyatuan ummah untuk kekal berkuasa – Ahmad Zahid

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
AHMAD ZAHID HAMIDI

PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan dasar penyatuan ummah perlu berlandaskan kepada kejujuran dan keikhlasan, bukannya demi kepentingan pihak tertentu agar terus kekal berkuasa.

Beliau berkata, perkara itu mula timbul susulan kewujudan pihak tertentu yang mahu UMNO di dalam kawalan mereka selepas perancangan menghancurkan parti itu sejak dua tahun lalu menemukan kegagalan.

Malah katanya lagi, kumpulan berkenaan menggunakan broker bertaraf jurucakap dan mendakwa merekalah penyatuan ummah yang sebenar. 

“Ironinya dasar penyatuan ummah perlu berlandaskan kepada kejujuran dan keikhlasan, bukan untuk menguasai supaya terus berkuasa, bukan juga untuk kepentingan si polan dan si polan. 

“Andai berjaya (usaha mengawal) jenama UMNO boleh dipergunakan, jutaan ahli UMNO boleh ‘diremote’ (dikawal) dan dikudakan. Tanpa cabaran pemimpin dan ahli UMNO inilah maka kedudukan dan kekuasaan mereka lebih selesa dan terjamin,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Isu hubungan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Perikatan Nasional (PN) kembali hangat selepas Ahmad Zahid sebelum ini menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyatakan kebersamaan parti itu dengan Bersatu dan PN hanya diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Surat bertarikh 26 Februari yang dihantar kepada Muhyiddin itu memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi UMNO untuk tidak bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kira-kira tiga juta ahli UMNO tidak wajar mengalah ekoran cubaan dilakukan pihak tertentu untuk menghancurkan parti itu yang pernah memayungi kedudukan kaum lain secara adil sejak negara mencapai kemerdekaan.

Beliau memberitahu, musuh nyata mudah dikenal pasti sebaliknya musuh yang berselindung pula sering berada dalam kesamaran serta penuh hasutan. 

“Kerana itu mereka berusaha gigih menghancurkan UMNO ‘once and for all’ sejak dua tahun lalu. Bagaimanapun usaha itu tidak pernah berjaya kerana kedegilan pemimpin dan ahli UMNO,” katanya.

Ahmad Zahid kemudian menyifatkan bekas pemimpin UMNO yang melompat sebagai katak yang selesa di seberang jalan kerana ingin menyelamatkan diri daripada pendakwaan mahkamah.

Beliau juga menggelarkan golongan tersebut sebagai burung belatuk yang sedang kekenyangan dapat dedak ‘di belakang rumah’.

“Kerana enggan menggadaikan UMNO, pemimpinnya dipropagandakan mahu menyelamatkan diri daripada pendakwaan mahkamah. Sedangkan pemimpin UMNO ‘kuster mahkamah’ inilah yang berani dan setia memperjuangkan UMNO walau apa menimpa mereka. 

“Jika mahu lihat bagaimana kaedah menyelamatkan diri, boleh lihat katak yang kini selesa ‘di seberang jalan’. Boleh juga lihat kepada burung belatuk yang sedang kekenyangan dapat dedak ‘di belakang rumah’,” katanya.

Tambahnya, usaha memulihkan UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukanlah suatu kerja mudah kerana kiri kanan, depan belakang, atas bawah musuh tidak pernah berhenti cuba menyekat kemaraan parti itu. – UTUSAN

Tiada ulasan: