HALAMAN SANTAI

Ahad, 7 Mac 2021

Annuar Musa terdesak – Anwar

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
ANWAR Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas menghadiri 'Retreat Kepimpinan Keadilan Negeri Sembilan di Port Dickson semalam.

PORT DICKSON: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Tan Sri Annuar Musa yang cuba mengaitkan dirinya dengan mendakwa UMNO kini seperti sudah berada di bawah pengaruh dirinya, adalah sebagai satu tindakan terdesak Ahli Parlimen Ketereh itu.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, Annuar Musa bertindak membuat kenyataan sedemikian hanya bertujuan untuk menjaga kedudukannya sebagai menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN)

“Annuar Musa ini saya tidak tahu mewakili siapa dan maklumat daripada mana, dia nampak terdesak, dia nak jaga jawatan dia, dia jagalah tapi jangan sentuh, ganggu orang lain.

“Politik dia tu hanya untuk jaga jawatan menteri dia, dia tak peduli parti dia, dia tak peduli cakap benar atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri ‘Retreat Kepemimpinan Keadilan Negeri Sembilan di sini malam ini.

Yang hadir sama, Pengerusi PKR Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Annuar Musa yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) baru-baru ini mendakwa UMNO seperti sudah berada di bawah pengaruh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Anwar menyambut baik kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bersedia melakukan siasatan terhadap dakwaan beberapa individu cuba menyogok ahli Parlimen seperti tular dalam media sosial.

“Itu kenyataan umum, saya percaya SPRM boleh telus jalankan tugas, orang-orang ini dipanggil oleh orang-orang tertentu dan diberikan maklumat dan percubaan untuk menyogok, saya tidak fikir SPRM cuba berikan alasan untuk keluar dari masalah ini.

“Saya ucapkan terima kasih atas kepekaan SPRM yang mengukuhkan pandangan bahawa mereka itu betindak secara profesional tapi saya nak ini dibuktikan dengan tindakan yang tidak memilih bulu sama ada pembangkang atau kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: