HALAMAN SANTAI

Rabu, 10 Mac 2021

Apa sebenarnya Umno mahu?

Jamari Mohtar 

 Umno ketika ini dilihat tidak tahu siapa yang harus menjadi PM baru, lantas pendiriannya goyah untuk sama sekali tidak menyokong PN.

Di kala angka jangkitan harian Covid-19 menunjukkan trend menurun dan ekonomi secara amnya mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan, Umno kembali semula berpolitik (politicking) yang hanya akan menyebabkan ketidakstabilan negara.

Ini menimbulkan persoalan mengenai apa sebenarnya yang Umno mahukan.

Ia telah melahirkan niatnya dengan jelas sejak hari pertama menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Bersatu dengan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri berdasarkan pemahaman untuk menyelamatkan Malaysia dengan membentuk kerajaan campuran kerana kegagalan Pakatan Harapan (PH), dan tidak lebih dari itu.

Pada peringkat awal, setiakawan dan keakraban antara keduanya begitu menyerlah kerana kejayaan menjatuhkan kerajaan PH. Maka itu, persoalan Bersatu bergabung dalam pakatan politik Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk antara Umno dengan PAS, bersama dengan kemungkinan ketiga-tiga parti itu menjadi anggota PN atas semangat perpaduan Melayu telah dibincangkan dan dilayan secara mesra.

Malah, terdapat perbincangan mengenai rundingan kerusi di antara ketiga-tiga parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru.

Namun, keadaan mula berubah selepas 28 Julai ketika bekas presiden Umno dan bekas perdana menteri, Najib Razak dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kerana jenayah rasuah.

Dua hari kemudian pada 30 Julai, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu secara rasmi tidak akan menyertai PN. Parti itu sebaliknya akan mengukuhkan gabungan MN bersama PAS dan parti komponen Barisan Nasional (BN), menurut presiden Umno itu.

“Sokongan kami kepada kerajaan PN hanya berdasarkan sokongan ahli Parlimen (MP) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Umno dan BN untuk membentuk kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tertentu,” kata Zahid.

Langkah yang nampaknya bertentangan itu membolehkan Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri kelapan. Ini konsisten dengan pendirian Umno sejak hari pertama pembentukan kerajaan PN, dengan satu-satunya perkara baru adalah tekad Umno untuk tidak menyertai PN secara rasmi.

Sementara itu, menjelang pilihan raya Sabah, Zahid memintas Muhyiddin dengan mengumumkan mana-mana parti dalam gabungan besar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Muhyiddin yang memenangi kerusi terbanyak harus mempunyai suara dalam menentukan ketua menteri, lantas mencalonkan Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin untuk jawatan itu sekiranya Umno memenangi kerusi terbanyak.

Ini bagaikan menghitung anak ayam sebelum telur menetas, dan memperlekehkan Muhyiddin sebagai pemimpin GRS, apatah lagi pencalonan Bung Moktar sendiri pada awalnya telah mencetuskan kontroversi di kalangan anggota Umno Sabah. Perkara seperti ini sebaiknya dibincangkan secara tertutup sebagai strategi pilihan raya.

Muhyiddin akhirnya memutuskan gabungan dalam GRS yang memenangi kerusi terbanyak harus mempunyai hak untuk menamakan ketua menteri, dan beliau berkata demikian hanya setelah keputusan pilihan raya diketahui, tidak seperti Zahid yang membawa isu itu semasa berkempen.

Lantaran itulah, pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Mohd Noor dinobatkan sebagai ketua menteri baru kerana gabungan PN dalam GRS memperoleh kerusi terbanyak (17) berbanding 14 yang dimenangi BN.

Ini tidak pula menghalang pemimpin Umno kemudian membuat dakwaan keputusan Muhyiddin adalah contoh parti kecil (Bersatu) membuli parti besar (Umno).

Masalah menjadi lebih buruk ketika pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim, mendedahkan pada September kononnya beliau mempunyai bilangan ahli Parlimen yang kuat, kukuh dan meyakinkan untuk membentuk kerajaan baru, dua pemimpin kanan Umno – Najib dan Zahid – telah menulis kepada pihak Istana Negara sokongan mereka kepada Anwar sebagai perdana menteri baru.

Sehingga hari ini, kedua-dua mereka masih membisu dalam isu ini, manakala bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa telah memberikan bukti mengenai perkara itu.

Pada Disember pula, usaha Umno untuk menjatuhkan kerajaan negeri Perak pimpinan Bersatu berhasil dengan bantuan pembangkang dari DAP dan PKR. Apa yang melucukan ialah perisitwa itu berlaku hasil satu usul undi yakin kepada menteri besar Perak ketika itu, Ahmad Faizal Azumu, yang diketengahkan Umno. Namun saat mengundi, majoriti Adun Umno mengundi tidak yakin terhadap MB.

Biasanya, apabila sesebuah parti membawa usul yakin, ia mempunyai tanggungjawab menyokong MB, berbeza dengan usul tidak yakin. Jadi, siapa yang membuli siapa? Ini mungkin sebabnya Zahid terpaksa memohon maaf secara terbuka kepada Muhyiddin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang semua Adunnya menyokong Faizal dalam usul tersebut.

Dalam keadaan tidak menentu mengenai pembentukan kerajaan negeri Perak yang baru, kemungkinan Umno bekerjasama dengan Anwar dan DAP mula disuarakan, yang kemudian menyebabkan Annuar Musa mengatakan ia bertentangan dengan dasar sohor Umno “Tidak Anwar, Tidak DAP”.

Lebih banyak berita buruk menyusul apabila dua MP Umno menarik sokongan dari PN pada Januari, mengurangkan majoriti kerajaan PN kepada hanya satu – tindakan yang bertentangan dengan niat rasmi Umno sejak hari pertama untuk menyokong kerajaan PN.

Maka itu agak pelik tiada tindakan disiplin dikenakan ke atas dua MP tersebut kerana ia sama ada mencerminkan keadaan Umno yang lemah di bawah Zahid yang tidak dapat mendisiplinkan ahlinya sendiri atau niat jelas Umno selama ini untuk tidak menyokong kerajaan PN berdepan dengan PH sebelum PRU 15.

Mungkin, tepat pada masanya, nasihat bekas timbalan perdana menteri dan bekas timbalan presiden Umno, Musa Hitam diberi perhatian serius berhubung dengan Umno mengetepikan para pemimpinnya yang terbabit dengan tuduhan rasuah demi memastikan parti itu bergerak maju di masa mendatang.

Ini tidak bermakna Zahid tidak dipilih secara demokratik sebagai presiden tetapi supaya Umno tidak akan menjadi “orang sakit” PN selamanya.

Sementara itu, dalam menghadapi semua cabaran, Bersatu terutama Muhyiddin telah menunjukkan sikap yang tenang dan berpatutan, mirip respons yang ditunjukkan Muhyiddin terhadap Dr Mahathir semasa krisis Bersatu ketika mantan PM itu masih berkeras menganggap dirinya masih menjadi ketua parti itu.

Muhyiddin telah mendoakan yang terbaik untuk mantan PM setelah menyatakan pendiriannya dengan sopan walaupun Dr Mahathir telah menggunakan kata-kata kasar dalam mengkritik beliau.

Begitu juga dengan surat Zahid mengenai kerjasama dengan PN sehingga PRU15 disambut Muhyiddin dengan menerima penjelasan Zahid sambil berkata Bersatu akan berusaha gigih untuk memantapkan kerjasama dengan parti lain dalam gabungan PN.

Pada awal artikel, saya mengemukakan soalan apa yang sebenarnya Umno mahu. Sebilangan pemerhati berpendapat Umno dan pembangkang terutama Anwar mahu melihat Muhyiddin berundur, tetapi Umno tidak mahu melihat Anwar sebagai PM baru. Dan Umno ketika ini juga tidak tahu siapa yang harus menjadi PM baru, lantas pendiriannya yang goyah untuk sama sekali tidak menyokong PN.

Sekiranya ini benar, mari kita berharap Umno dan pembangkang lebih sabar untuk menunggu negara bebas dari Covid-19 dan ekonomi menuju ke arah pemulihan sebelum melaksanakan skim ini. Jika tidak, negara akan menghadapi ketidakstabilan, ketidakstabilan dan ketidakstabilan dan rakyat juga akan menderita, menderita dan menderita.

(*) Jamari Mohtar adalah Pengarah, Media & Komunikasi di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Tiada ulasan: