Oleh ASLINDA NASIR
KUALA LUMPUR: Pertembungan kerusi antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kemungkinan besar tidak akan berlaku.
Menjelaskan perkara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Muafakat Nasional (MN) malam ini dengan mengambil kira pengukuhan Melayu dan Islam.
“Apa yang kita bincang tadi, kita sedang usahakan untuk tidak ada tiga penjuru. Mesyuarat tadi memang membincangkan untuk memperkukuhkan MN.
“Yang penting, MN, agenda dia kita dapat teruskan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat MN yang dipengerusikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Jelas Kamaruzaman lagi, pertembungan kerusi tersebut merupakan ‘perkara sampingan’ yang dibincangkan di antara UMNO dan Pas sambil menetapkan fokus untuk terus menjadi pendamai kepada kedua-dua parti itu.
“Itu adalah perkara sampingan, tetapi motif kita adalah untuk memperkukuhkan MN, semuanya berjalan dengan baik, malah, kita dah tetapkan jadual mesyuarat berikutnya,” jelasnya.
Kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang membawa kepada pembentukan Perikatan Nasional pada Mac tahun ini, menyaksikan nasib politik Pas dan UMNO berubah, dengan kedua-dua parti menjadi komponen penting dalam memastikan Tan Sri Muhyiddin Yassin memiliki majoriti.
Pas memenangi 18 kerusi daripada 158 kerusi Parlimen yang ditandinginya pada tahun 2018.
Parti Islam itu memiliki reputasi sebagai rakan kongsi ‘senang kira’ dalam beberapa pakatan sejak dua dekad lalu.
Pas berpegang teguh dengan Piagam MN yang dimeterai di antara UMNO dan Pas pada 14 September 2019 yang antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan