Oleh: Nurul Saadah Latib
KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini mencatatkan sejarahnya yang tersendiri, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurutnya, ini kerana buat pertama kalinya perhimpunan ini berlangsung secara maya dan bersemuka.
“Ini kali pertama dalam sejarah UMNO kita akan mengadakan kombinasi bersemuka dan juga secara maya,” katanya ketika ditemui semasa melakukan tinjauan persiapan perhimpunan agung pada Khamis petang.
Tambah Ahli Parlimen Pontian itu, walaupun dilakukan menerusi maya namun beliau berharap perwakilan yang hadir di bahagian masing-masing dapat menghayati usul-usul yang dibawa oleh jurucakap.
“Saya harap mereka menuruti segala perbahasan daripada ucapan presiden, timbalan presiden sehingga ke ucapan ketua masing-masing juga pembahas-pembahas negeri yang akan dipancarkan secara maya ke bahagian masing-masing.
“Kita harapkan mereka mendengar, di lokasi-lokasi yang dipilih bahagian masing-masing,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, meskipun perhimpunan agung kali ini telah ditunda sebanyak dua kali namun ianya tidak akan mematahkan semangat untuk memastikan perjalanannya berjalan lancar.
“Kita meminda dua kali tarikh Perhimpunan Agung UMNO disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan dan juga darurat.
“Kita tidak akan menunda lagi kita telah memaklumkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan
mengenai prosedur yang kita akan lakukan.
“Kita harap kemeriahannya dirasai walaupun tidak serupa dulu akibat SOP (prosedur operasi standard),” katanya. – UMNO Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan