HALAMAN SANTAI

Jumaat, 12 Mac 2021

Mahkamah benar injunksi baharu terhadap Puad dalam saman ‘kuarantin’ Muhyiddin

Puad Zarkashi (kiri) bersama peguamnya Shahrul Fazli Kamarulzaman (kanan).

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah injunksi sementara terhadap ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi, menghalangnya mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai Muhyiddin Yassin di Facebook.

Peguam perdana menteri, Rosli Dahlan berkata, Hakim Mohd Firuz Jaffril memberikan injunksi interim itu hari ini sementara menunggu permohonan Puad untuk membatalkan injunksi terhadapnya sebelum ini.

“Kes akan didengar pada 24 Mei kerana Puad telah memfailkan permohonan untuk mengetepikan injunksi ex parte diperoleh kami,” katanya kepada pemberita.

Rosli berkata, peguam Puad menyerahkan afidavit kepada pihaknya semalam, dan plaintif akan mengemukakan balasan.

Awal bulan ini, mahkamah membenarkan injunksi terhadap Puad yang menghalangnya membuat sebarang kenyataan berhubung catatan dianggap fitnah mengenai Muhyiddin.

Sementara itu, peguam Puad, G Rajasingam berkata, pihaknya tidak membantah injunksi baharu itu, sementara perbicaraan diselesaikan di mahkamah.

“Beliau kini menunggu mahkamah mendengar hujahan pada 24 Mei.”

Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang turut mewakili Puad berkata, injunksi ex parte Muhyiddin terhadap Puad sepatutnya luput pada 21 Mac. Susulan itu, katanya, injunksi interim ini akan berkuat kuasa selepas itu.

Dalam saman difailkan Muhyiddin bulan ini, perdana menteri mendakwa catatan Puad bertarikh 9 Feb mengandungi kenyataan yang jelas palsu, tidak berasas dan jahat, bertujuan memfitnahnya.

Beliau berkata, setiap kata dalam hantaran atau kenyataan itu membawa maksud beliau (Muhyiddin) dan kumpulannya enggan menjalani kuarantin selama 10 hari sebaik pulang dari Jakarta.

Puad menurunkan catatan bertarikh 9 Feb itu selepas injunksi berkenaan diperoleh.

Muhyiddin berkata, kenyataan itu seolah-olah bermaksud menteri kesihatan mengeluarkan perintah baharu menerusi warta persekutuan bahawa menteri yang pulang dari lawatan rasmi di luar negara hanya perlu menjalani kuarantin tiga hari, seterusnya mengatasi arahan ketua pengarah kesihatan.

Menurutnya, kenyataan Puad itu membayangkan beliau menyalahgunakan kuasanya untuk mengatasi ketua pengarah kesihatan, selain menteri seolah-olah mendapat layanan istimewa.

Muhyiddin menuntut ganti rugi, injunksi tetap untuk menghalang Puad daripada mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu, dan permohonan maaf tanpa syarat.

Beliau juga mahu semua portal berita yang menerbitkan kenyataan Puad menurunkan artikel yang memfitnah itu serta menerbitkan permohonan maaf secara jelas.

Tiada ulasan: