HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 Mac 2021

Cabar darurat: Permohonan tiga YB PH ditolak mahkamah

Cabar darurat
Permohonan tiga wakil rakyat PH cabar darurat ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

PERKARA 150 (8) Perlembagaan Persekutuan menutup pintu undang-undang daripada sebarang permohonan atau tindakan cabar darurat termasuk ordinan di bawah undang-undang darurat.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan pengisytiharan darurat tidak boleh dicabar menerusi semakan kehakiman.

Dengan ini, permohonan tiga wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) bagi memulakan semakan kehakiman terhadap peranan Perdana Menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara ditolak.

Keputusan itu selepas Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid mendapati bahawa Perkara 150 (8) Perlembagaan adalah sah dan berperlembagaan.

Mahkamah memutuskan keputusan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 (1) dan 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan berhubung pengisytiharan darurat tidak boleh dicabar menerusi semakan kehakiman.

“Perlembagaan Persekutuan juga tidak menggariskan tanggungjawab dari segi undang-undang kepada responden pertama untuk bertindak dalam cara yang dikehendaki pemohon.

“Oleh itu, relif yang dimohon oleh pemohon adalah salah di sisi undang-undang,” kata mahkamah.

Tiga wakil rakyat berkenaan Ahli Parlimen Pulai, Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub (AMANAH); Ahli Parlimen Sungai Petani, Kedah, Johari Abdul (PKR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Perak, Dr Abdul Aziz Bari (DAP).

Pada prosiding itu, Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan, S Narkunavathy mewakili kerajaan manakala pemohon-pemohon diwakili oleh peguam Datuk Gurdial Singh Nijar dan Christopher Leong.

Pada 26 Januari lalu, ketiga-tiga mereka memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap peranan Perdana Menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Mereka memfailkan permohonan untuk mencabar nasihat yang diberikan oleh Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baca artikel berkaitan: “Darurat COVID-19 diperlukan, bukan alasan untuk kekal jadi PM” – Muhyiddin

Proklamasi darurat: Menyesalkah Anwar dan Mahathir?

Mereka memfailkan permohonan itu bagi membolehkan Klausa 11, 14 dan 15 Ordinan Darurat yang dikatakan tidak berperlembagaan disemak oleh mahkamah.

Permohonan ini juga bagi membolehkan kuasa-kuasa oleh Perdana Menteri dan Kabinet serta Menteri Besar, Ketua Menteri dan Exco yang dikatakan tidak dapat dipertanggungjawabkan kepada Parlimen atau DUN disemak.

Sebelum ini, beberapa pakar undang-undang perlembagaan menyatakan tindakan cabar darurat adalah sesuatu yang tidak akan dibenarkan berikutan Perkara 150 (8) Perlembagaan.

Pada 12 Januari lalu, Agong memberi perkenan darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos atau lebih awal, jika jumlah kes COVID-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Tiada ulasan: