DAP tidak akan menjalin kerjasama politik dengan UMNO, kecuali kerjasama dalam perkara yang melibatkan kepentingan rakyat sahaja.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng menegaskan pihaknya tidak menjalin sebarang kerjasama politik dengan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Guan Eng berkata, bagaimanapun, pihaknya sebelum ini senada dengan UMNO dalam menyatakan persetujuan agar sidang Parlimen diadakan bagi membahaskan permasalahan penularan pandemik COVID-19.
“Kita (DAP) tidak mempunyai masalah atau halangan untuk bekerjasama dengan UMNO jika ia melibatkan kepentingan rakyat dan bukannya atas dasar kepentingan parti.
“Contohnya, DAP bersetuju dengan UMNO yang mahukan persidangan Parlimen diadakan. Selain itu, kita juga berpendirian sama dengan UMNO dalam konflik di Myanmar dan Palestin,” katanya pada sidang akhbar di Wisma DAP di George Torn hari ini seperti yang dilaporkan portal Astroawani.com.
Beliau mengulas pendirian DAP untuk mengadakan kerjasama dengan UMNO pada PRU-15.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan itu turut berkata, DAP akan tetap tidak bersetuju dengan tindakan wakil rakyat melompat parti walaupun ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, dakwaan enakmen anti lompat parti Pulau Pinang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan boleh ditentukan oleh mahkamah.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang baru-baru ini menyatakan adalah tidak salah dari segi undang-undang untuk wakil rakyat melompat parti walaupun selepas dipilih dalam pilihan raya. – UtusanTV
Tiada ulasan:
Catat Ulasan