HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 Mac 2021

Umno, PAS S'gor tolak tawaran jawatan KPKT

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Umno dan PAS Selangor menolak pelantikan dalam Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) yang ditawarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

PeKT adalah inisiatif KPKT yang berperanan seperti ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lantikan kerajaan negeri, di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.

Umno dan PAS memberi isyarat bahawa mereka tidak senang dengan jawatan itu digunakan untuk tawar-menawar.

"Umno dan PAS Selangor berpendapat bahawa jawatan dalam kerajaan bukan bertujuan untuk tawar-menawar tetapi untuk menjaga kebajikan rakyat.

"Ia tidak boleh digunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu," kata mereka dalam kenyataan bersama malam tadi.

Ahli Parlimen Ampang daripada Bersatu, Zuraida Kamaruddin adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Umno sebelum ini telah menyenaraikan calonnya untuk jawatan dalam PeKT di Selangor tetapi kemudian membatalkannya sebagai tanda sokongan kepada PAS.

"PAS Selangor telah menolak jawatan PeKT dengan tidak mencalonkan nama.

"Sebagai tanda solidariti dan sokongan, Umno juga memutuskan untuk menolak jawatan yang ditawarkan walaupun telah mengemukakan nama sebelum ini," kata mereka.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Ketua Umno Selangor Noh Omar dan Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi.

Secara kebiasaannya, kerajaan persekutuan akan melantik penyelaras parlimen di kawasan yang dikuasai pembangkang.

Ia agar parti pemerintah mendapat kredit bagi projek pembangunan yang dijalankan di kawasan itu, pada masa sama menafikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Dengan PeKT, KPKT juga menggunakan cara ini di peringkat kerajaan tempatan.

Ketua Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari sebelum ini berkata akan ada 288 jawatan PeKT di Selangor, dengan masing-masing mendapat elaun RM2,000 sebulan.

Kerajaan Selangor pula berkata tidak akan mengiktiraf mana-mana wakil PeKT di negeri itu, tetapi Zuraida berkata kerajaan negeri tiada suara dalam soal itu.

Hari ini Zuraida berkata dia akan mendapatkan penjelasan berhubung penolakan tawaran oleh Umno dan PAS.

"Kita perlu dapatkan penjelasan sama ada itu satu situasi yang tulen atau tidak.

"Saya baca kenyataan mereka buat mesyuarat, dan mesyuarat buat keputusan begitu. Tapi tak mengapa, kita akan berjumpa dengan mereka dan memutuskan perkara itu," katanya kepada pemberita di Shah Alam, pagi tadi.

Keputusan Umno dan PAS di Selangor ini menambah lagi kerumitan hubungan politik dengan Bersatu.

Di peringkat persekutuan, presiden PAS Abdul Hadi Awang berkeras bahawa ia akan tetap menjadi sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Bersatu. PAS juga mahu Umno bekerjasama dengan PN.

Namun Umno lebih suka bekerjasama dengan PAS di bawah Muafakat Nasional tetapi mengakui bahawa ia mungkin terpaksa berpisah jika PAS terus kekal dengan PN.

Tiada ulasan: