HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Mac 2021

Gelombang ketiga Covid-19 terlalu lama, kata Kit Siang

FMT Reporters

 Pemimpin veteren DAP Lim Kit Siang mempersoalkan mengapa Malaysia berdepan dengan gelombang penularan Covid-19 yang terpanjang di dunia.

PETALING JAYA: Malaysia sedang berdepan gelombang Covid-19 “terpanjang” di dunia, dan DAP meminta perdana menteri membentangkan laporan untuk dipertimbangkan oleh Kabinet minggu depan mengenai punca masalah itu.

Pemimpin veteran parti itu Lim Kit Siang berkata, Muhyiddin Yassin juga perlu menerbitkan satu lagi laporan mengenai bagaimana negara boleh menjayakan serta menyiapkan program imunisasi Covid-19 kebangsaan menjelang tempoh sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Beliau berkata, kedua-dua laporan itu mesti dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu susulan gelombang ketiga Covid-19 dilihat masih lagi belum berjaya dikawal.

“Laporan itu perlu menyatakan mengapa Malaysia berdepan dengan gelombang penularan Covid-19 yang terpanjang di dunia.

“Gelombang ketiga penularan yang bermula di Malaysia pada September lalu akibat pilihan raya negeri (PRN) Sabah masih lagi belum berjaya dikawal sepenuhnya kerana kita masih belum dapat melihat kadar penurunan dalam julat tiga dan dua angka sehari,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, laporan kedua itu perlu mencari jalan untuk mempercepat program vaksinasi sehingga dapat disiapkan menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.

“Perhatian khusus perlu diberikan kepada Sabah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, dan Perlis memandangkan kadar penaftaran (vaksin) di negeri-negeri ini masih pun belum mencapai 20%,” katanya, sambil menambah kedua-dua laporan itu perlu diterbitkan kepada umum.

Semalam, kes baharu Covid-19 dilaporkan meningkat kepada 1,576 berbanding dengan 1,213 kes pada hari sebelumnya.

Lim berkata demikian walaupun negara masih berada di bawah paras 2,000 kes sehari selama 14 hari berturut-turut.

Tiada ulasan: