HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Mac 2021

Hubungan PKR-Umno sekadar khabar angin

HARAKAH  DAILY

KOTA BHARU: Keghairahan media dan portal berita memainkan isu PKR mahu bekerjasama dengan Umno dianggap tidak lebih hanya sekadar khabar angin.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pemimpin Umno diharap bijaksana dalam membuat sebarang keputusan.

“Setakat yang saya tahu, majoriti pemimpin dan ahli Umno berasakan mereka perlu berada bersama PAS dan Bersatu,” ujarnya selepas majlis pecah tanah pembinaan Kompleks Pengilangan OTC I Medikel Pharma Holdings Berhad di Seksyen 44 di sini hari ini.

Turut hadir Presiden I Medikel Pharma Holdings Berhad Yusmat Mamat dan Pengarah Mara Negeri Abdul Wahab Yusoff.

Baru-baru ini, Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan parti itu bekerjasama dengan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan dilapor berkata, keputusan Perhimpunan Agung 2019 menolak kerjasama dengan PKR dan DAP kekal sehingga sekarang.

“Jika Anwar masih mahu mencanang kononnya ada rundingan dan kerjasama politik dengan Umno itu adalah haknya untuk bercakap seperti mana selama ini beliau tidak berhenti mengatakan ada majoriti di parlimen,” ujarnya.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata pandangan majoriti pemimpin Umno perlu diambil kira sebelum parti itu membuat sebarang keputusan rasmi.

Menurutnya juga masih ada pihak yang mengeluarkan kenyataan bentuk provokasi supaya PAS melenting (marah) yang akhirnya merobohkan hubungan baik dengan Umno.

“Jadi baik kita diam saja, sama juga seperti kisah dalam rumah tangga bila isteri berleter suami diam. Kalau dua-dua berleter harus bertumbuk.

“Jadi kita biarkan sajalah, kenyataan itu mungkin keluar kerana dia (Tengku Razaleigh) dalam keadaan marah, macam dalam rumah tangga,” katanya.

Baru-baru ini Penasihat Umno yang juga ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilaporan menggelarkan PAS sebagai pelacur politik. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: