JOHOR BAHRU: Keputusan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon meninggalkan PKR dan menyokong Perikatan Nasional (PN) dibuat setelah memikirkan kepentingan dan kesejahteraan pengundi di kawasannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr. Chong Fat Full berkata, keyakinan itu berdasarkan tindakan sama diambil beliau semasa membuat keputusan meninggalkan PKR untuk menyokong kerajaan PN pada Mac tahun lalu.
Menurutnya, beliau berpeluang bertemu dengan Ahli Parlimen Tebrau itu semalam.
“Saya memuji tindakannya kerana untuk berbuat demikian perlu ada semangat yang kental, kalau tidak tak boleh tahan orang bercakap-cakap.
“Tindakan wakil rakyat (pembangkang) yang menyokong kerajaan akan beri manfaat kepada pengundi, itu yang diutamakan beliau (Steven Choong) dan saya yakin beliau sudah memikirkan tentang perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Cek Peruntukan Covid-19 kepada 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dataran Muafakat Ulu Tiram, di sini hari ini.
Pada 28 Februari lalu, Steven Choong dan Ahli Parlimen Julau, Sarawak, Larry Sng Wei Shien menyatakan sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekaligus meninggalkan PKR.
Perkara itu disahkan Muhyiddin melalui laman Facebook miliknya yang memaklumkan telah menerima akuan bersumpah daripada dua Ahli Parlimen berkenaan.
Fat Full yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri turut memberitahu, pihaknya tahu terdapat ramai wakil rakyat pembangkang yang sedar platform terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat adalah dengan menyokong PN.
“Secara peribadi saya ada banyak berbincang dgn kawan-kawan Ahli Parlimen atau ADUN, ramai tahu kalau ada platform, ada peruntukan dan sumber mereka dapat bantu rakyat lebih.
“Cuma dunia ini tiada ubat berani, kalau ada ubat berani saya rasa sudah ramai lompat. Mereka semua tahu arah tuju pembangkang sekarang dan masalah dalaman dihadapi, cuma tidak berani,” ujarnya lanjut. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan