KUALA LUMPUR – Penjelasan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar semalam yang mempertahankan dirinya berada di New Zealand selama 55 hari untuk bersama keluarga di New Zealand sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menoktahkan persoalan.
Sebaliknya, Datuk Mohd Puad Zakarshi mempersoalkan bagaimana permohonan cuti panjang selama 55 hari untuk seorang timbalan menteri boleh diluluskan.
Kelulusan cuti yang diperoleh Santhara amat luar biasa apatah lagi alasannya untuk bersama keluarga yang menetap di luar negara ketika frontliners tidak boleh bercuti.
Paling tidak, frontliners hanya boleh bercuti dua atau tiga hari sahaja untuk melawat anak dan isteri di luar daerah.
”YB Dr Santhara bagi alasan, dia mohon cuti dan kelulusan rentas sempadan ke New Zealand kerana mahu menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab.
“Adakah timbalan menteri sahaja layak jadi ibu bapa bertanggungjawab, rakyat biasa tidak?,” soalnya yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Soal beliau lagi, apakah rakyat biasa yang dilarang melakukan rentas daerah atau negeri untuk melawat keluarga mereka dianggap ibu bapa tidak bertanggungjawab sedangkan mereka bukan memohon untuk rentas negara.
Tegas Mohd Puad, seorang yang berhormat perlu kerap berada di kawasan, apatah agi pada musim pandemik dan musim banjir.
”Segamat pun tidak kurang terkesan. Cuti dua minggu tidak cukup ke?,” tanya beliau lagi.
Kata Mohd Puad, semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN), cuti menteri dan timbalan menteri dibekukan di musim banjir.
Malah, Datuk Seri Najib Razak terpaksa membatalkan percutiannya dan terus ke Kelantan yang dilanda banjir besar tahun 2014.
”Apakah jawatan Timbalan Menteri Wilayah tidak penting?,” soalnya sambil menyifatkan amalan dua darjat semakin berleluasa. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan