HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Mac 2021

UMNO, Pas Pulau Pinang adakan sesi retreat perkukuh MN

Oleh KHUZAIRI ISMAIL

GEORGETOWN: UMNO Pulau Pinang akan mengadakan satu sesi bersama pemukiman (retreat) dengan kepemimpinan Pas negeri ini dalam masa terdekat bagi memperkukuhkan kerjasama di bawah Muafakat Nasional (MN).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, sesi itu kelak akan turut memperincikan mengenai kedudukan kerusi yang akan ditandingi kedua-dua parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut beliau, UMNO Pulau Pinang ketika ini kekal dengan pendirian untuk mengelak pertembungan dengan calon Pas di mana-mana kerusi pada PRU-15.

“Buat masa ini juga hubungan kita dengan Pas negeri sangat rapat dan tidak ada masalah, banyak program antara kedua-dua parti telah dianjurkan dan mendapat sokongan serta sambutan baik ahli akar umbi kedua-dua parti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Minggu lalu, Pas buat pertama kali menyertai mesyuarat Jawatankuasa Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan di Kepala Batas di sini.

Dalam pada itu, Musa berkata, UMNO negeri ketika ini sudah 50 peratus selesai dalam penentuan kerusi dan calon parti tersebut yang akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Tambah beliau, parti itu mengambil pendekatan menyerahkan sepenuhnya kepada UMNO bahagian masing-masing untuk menentukan calon sebelum dinilai pucuk pimpinan parti.

“Kali ini kita serahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan UMNO bahagian untuk pilih calon kerana mereka lebih tahu siapa yang mempunyai sokongan di bahagian masing-masing.

“Kita tidak mahu lagi tersilap memilih calon seperti calon payung terjun kerana hanya akan merugikan UMNO sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai keputusan Gerakan menyertai PN, Musa berkata, perkara itu tidak memberi apa-apa kesan kepada kekuatan dan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) negeri.

Ini kerana kata beliau, UMNO tetap yakin dengan MCA dan MIC negeri serta parti-parti lain yang bersekutu dengan BN untuk bertanding di kerusi bukan majoriti Melayu di negeri dalam PRU-15. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: