HALAMAN SANTAI

Jumaat, 12 Mac 2021

Kempen akhiri darurat sebelum 1 Ogos dilancarkan

Pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad, mempengerusikan jawatankuasa 
yang terdiri daripada Ahli Parlimen, NGO dan ahli profesional.

KUALA LUMPUR: Sekumpulan penggubal undang-undang, aktivis dan NGO membentuk sebuah jawatankuasa bagi mengumpulkan sokongan orang ramai untuk merayu Yang di-Pertuan Agong menamatkan darurat sebelum tarikh 1 Ogos seperti yang ditetapkan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Jawatankuasa itu, yang dipengerusikan pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad, melancarkan petisyen dalam talian untuk berkempen bagi mendapatkan sokongan masyarakat dan menyerahkannya kepada Agong secepat mungkin.

“Setakat ini, kami memperoleh beberapa ratus tandatangan daripada individu dan NGO,” kata beliau kepada wartawan selepas melancarkan petisyen yang digelar #TamatDarurat.

Khalid berkata, jawatankuasa itu berharap dapat mengumpulkan sebanyak mungkin tandatangan untuk cuba menyerahkannya kepada Agong sebelum Ramadan, yang bermula 13 April.

“Saya merayu setiap rakyat Malaysia yang mencintai negara ini supaya menandatangani petisyen ini melalui laman web kami #tamatdarurat.com untuk membantu memulihkan keadaan politik, ekonomi dan sosial negara.

“Jangan rasa terancam apabila menandatangani petisyen ini. Setiap orang mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat, mengikut undang-undang.

“Kita mesti bergabung tenaga untuk bersama-sama menunjukkan kekuatan sehingga akhirnya dapat mengemukakan (isu ini) kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata beliau.

Khalid berkata, orang ramai dialu-alukan untuk menyertai jawatankuasa itu tanpa mengira fahaman politik, sambil menambah, belum ada lagi sokongan daripada PN setakat ini.

Jawatankuasa itu kini mempunyai 23 ahli, termasuk Setiausaha Agung Penaja Pejuang Marzuki Yahya, Ahli Parlimen DAP Teresa Kok (Seputeh) dan daripada PKR, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah serta Fahmi Fadzil (Lembah Pantai).

Antara ahli profesional yang menganggotai jawatankuasa itu adalah peguam Thanussha Francis Xavier, pengasas bersama parti politik MUDA, dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Tiada ulasan: