Bernama
Sebelum
ini, kerajaan berkata, pelaksanaan usia kelayakan mengundi 18 tahun
dan
pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan
selewat-lewatnya Julai ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR:
Perwakilan Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mahu
penguatkuasaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dilaksanakan pada
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Wong Chia Zhen berkata penguatkuasaan tersebut termasuk pendaftaran pemilih secara automatik.
"Harap-harap
boleh jadilah.Tetapi saya dimaklumkan terdapat beberapa negeri masih
belum meluluskan rang undang-undang negeri yang mengizinkan pemuda dan
pemudi menyertai proses demokrasi (undi) itu," katanya ketika berucap
pada Persidangan Perwakilan Pemuda Nasional Parti Gerakan ke-33, malam
tadi.
Beliau
berkata parti sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) itu
komited terhadap pembinaan persekitaran politik yang stabil di negara
ini dan berpendapat ia hanya wujud melalui komitmen yang berterusan
dengan Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
Sebelum
ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang)
Datuk Takiyuddin Hassan berkata pelaksanaan usia kelayakan mengundi 18
tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat
dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.
Sementara
itu, Ketua Wanita Gerakan Janice Wong Oi Foon dalam ucapan pada
persidangan sayap berkenaan yang berlangsung secara berasingan berkata
sayap itu bersama organisasi wanita lain akan bekerjasama dalam usaha
memperkasa dan mengarusperdanakan wanita bagi mendepani cabaran normal
baharu susulan pandemik COVID-19.
"Kehidupan
rakyat makin terhimpit, terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan
dan sumber pendapatan akibat penularan COVID-19. Kami akan menubuhkan
satu Pasukan Kerja Mendepani Norma Baharu untuk ini.
"Kami
bekerjasama dengan mengadakan kursus perniagaan dalam talian, membantu
dan memastikan golongan wanita menguasai teknologi baharu dan seterusnya
meningkatkan kemahiran wanita dalam era teknologi baharu, supaya mereka
mempunyai daya saing yang tinggi untuk berjaya," katanya.
Beliau
berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan yang lebih banyak kepada
dana khas usahawan wanita selain mencadangkan subsidi penuh kepada
golongan wanita untuk menyertai program-program kemahiran yang
berkaitan.
Kedua-dua persidangan berkenaan yang dilaksanakan sepenuhnya secara maya itu dirasmikan Timbalan Presidennya Oh Tong Keong.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan