HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 Mac 2021

‘Macam tunggu kucing bertanduk’, DAP ibaratkan ‘penantian’ untuk kerajaan setujui sidang Parlimen

Abdul Aziz Bari mencadangkan persidangan Parlimen di lokasi lain sekiranya 
bangunan Parlimen dilihat sebagai tidak sesuai. (Gambar Bernama)

IPOH: DAP Perak membuat laporan polis terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan atas kenyataannya bahawa sidang Parlimen tidak akan diadakan semasa tempoh darurat.

Naib Pengerusi DAP Perak Abdul Aziz Bari berkata, ketetapan yang dibuat Takiyuddin itu dilihat berlawanan dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mengizinkan sidang Parlimen diadakan.

“Di sini jelas, kerajaan nampaknya tidak mahu berikan nasihat kepada Istana untuk mengadakan sidang Parlimen dan ini bertentangan dengan … Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa perlu) dan Ordinan Darurat itu sendiri,” kata beliau.

Aziz berkata, susulan titah Agong itu, pihak Istana “hanya menunggu nasihat kerajaan, tetapi nampaknya kerajaan tak berikan nasihat itu (untuk benarkan Parlimen bersidang).

“Nak harapkan (kerajaan) nasihat, macam tunggu kucing bertanduk. Dari sekarang hingga Ogos, macam-macam boleh berlaku, sebab itu saya buat laporan polis,” kata Aziz kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

Beliau yakin pelbagai pihak lain juga akan turut membuat laporan polis kerana sidang Parlimen melibatkan kepentingan awam.

“Harap yang lain akan buat (laporan polis). Ia ada elemen kepentingan awam supaya rakyat sedar (kepentingan sidang Parlimen). Kita mahu supaya desakan diperkuatkan,” kata beliau.

Kerajaan boleh mendapatkan nasihat daripada pakar-pakar termasuk Kementerian Kesihatan untuk meneruskan sidang Parlimen, kata Aziz.

Kata beliau, sekiranya persidangan tidak sesuai diadakan di bangunan Parlimen, mungkin lokasi lain boleh dipertimbangkan, “asalkan boleh bersidang”.

“Kalau payah sangat, bawah pokok pun boleh kalau dikatakan bahaya di dalam bangunan Parlimen. Tidak halangan sebenarnya untuk sidang Parlimen diadakan di tempat lain.

“Semua Ahli Parlimen pembangkang tak ada masalah nak bersidang, yang ada masalah sekarang ini adalah kerajaan,” kata beliau.

Terdahulu, Takiyuddin dilaporkan berkata, Jemaah Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk tidak mengadakan sidang Parlimen ketika tempoh darurat sehingga 1 Ogos nanti.

Tiada ulasan: