HALAMAN SANTAI

Rabu, 10 Mac 2021

3 kesilapan besar Ahmad Zahid

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
 
KAMARAZAMAN YAACOB

PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disifatkan melakukan tiga kesilapan besar sehingga mendapat tentangan daripada pemimpin tertinggi dan ahli parti itu sendiri.

Aktivis politik veteran, Kamarazaman Yaacob berkata, kesilapan pertama Ahmad Zahid adalah menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong dengan menyatakan bahawa ahli-ahli Parlimen UMNO bersamanya memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan Presiden PKR itu menjadi Perdana Menteri Ke-9.

Beliau berkata, kesilapan kedua Ahli Parlimen Bagan Datuk itu adalah membuat keputusan dan kenyataan kononnya Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah mengambil ketetapan untuk memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, ini termasuk menyatakan bahawa UMNO menolak jawatan Timbalan Perdana Menteri sedangkan majoriti menyatakan pendirian sebaliknya.

“Kesilapan ketiga Ahmad Zahid adalah menyatakan Barisan Nasional (BN) bersetuju memutuskan hubungan dengan Bersatu. Reaksi dari kenyataan itu mendapat bantahan daripada MCA, MIC dan PBRS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarazaman berkata, permulaan Ahmad Zahid menghadapi tentangan daripada MKT UMNO secara terbuka selepas Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Bung Mokhtar membuat kenyataan menyanggah keputusan beliau berhubung kerjasama dengan Bersatu.

Beliau menjelaskan, apabila kenyataan terbuka kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO itu disambut bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dan Profesor Ulung, Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, maka semakin banyak ‘peluru’ dihala ke arah Ahmad Zahid.

“Saya percaya, rantaian peluru kalaupun tidak akan menghala ke arah Ahmad Zahid menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada 27 hingga 28 Mac nanti.

“Mungkin berlaku tekanan semasa Perhimpunan Agung UMNO supaya Ahmad Zahid melepaskan jawatan. Segala kemungkinan boleh berlaku,” katanya.

Membariskan kesilapan-kesilapan Ahmad Zahid itu, kata beliau, di samping sokongan kenyataan Shahidan, Bung Mokhtar, Musa dan Shamsul Amri, Ahmad Zahid dipercayai dalam keadaan defensif.

Katanya, dia bukan sahaja tidak mampu menyerang, malah terpaksa menepis serangan yang boleh melemahkan seluruh tenaganya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: