HALAMAN SANTAI

Sabtu, 6 Mac 2021

Mahu dibawa ke mana orang Melayu?

Apakah ini perangai parti Melayu? –SIRI 1

‘’Bukan politik membangun, mengembalikan kegemilangan Melayu. Sebaliknya apa yang dipertontonkan ialah politik hancur menghancurkan sesama sendiri. Lebih baik buang perkataan Melayu, Pribumi, gantikan sahaja dengan perkataan demokratik dan senada dengannya.’’

Mesej ini dihantar oleh seorang kawan yang semakin muak melihat parti-parti Melayu terus bercakaran sesama sendiri dari semasa ke semasa. Usahlah bercakap soal penyatuan Melayu, usahlah berbicara soal penyatuan ummah, semua itu seolah-olah tidak ada dalam pemikiran parti-parti Melayu.

Berpakat beramai-ramai menubuhkan kerajaan 12 bulan lalu hanya sandiwara politik kelas tertinggi. Kononnya pembentukan itu demi Melayu, demi ummah hanya omong kosong. Apabila sudah berada dalam satu kerjasama masing-masing mula menunjukkan belang.

Yang berasa lemah mahu memperkukuhkan kedudukan, yang rasa kuat disebabkan ada banyak kerusi mula menuntut itu dan ini.

Sekarang pemimpin parti Melayu bagaikan badut di pentas sarkas. Masing-masing dengan cara dan gaya sendiri manakala orang Melayu pula tersenyum sinis menyaksikannya.

Hari ke hari mereka semakin faham, rupanya begini perangai parti-parti Melayu apabila kuasa sudah berada di genggaman. Bila tidak ada kuasa mereka berpakat untuk berkuasa, bila ada kuasa mereka jatuh menjatuhkan antara satu sama lain.

Bagaimana dengan perjuangan untuk orang Melayu? Bagaimana dengan perjuangan bagi menyatukan ummah? Bagaimana untuk memperkukuhkan ekonomi orang Melayu yang terus ketinggalan yang sebelum ini begitu hebat menjadi modal parti Melayu meraih sokongan? Buang masa sahaja, kalau ada yang mahu mengharapkan semua itu kepada parti Melayu.

Agenda parti Melayu ketika ini bukan soal semua itu, yang penting bagi mereka ialah memperkukuhkan kedudukan, yang utama bagi mereka siapa akan menang kerusi paling banyak, yang mustahak bagi mereka ialah kuasa politik. Lantaklah kalau terpaksa menjatuhkan sesama bangsa sendiri, pedulikan soal ada kelompok yang akan mengambil kesempatan, semua itu tidak penting.

Tiada siapa pun yang bertaraf pemimpin atau negarawan yang tampil mahu meredakan keadaan, yang menghasut untuk pecah belah memang ramai, bukannya menjadi air yang menyejukkan sebaliknya menjadi minyak yang menyemarakkan permusuhan, walaupun ada antara mereka ibarat sudah di penghujung senja.

Politik benci dan dendam ternyata semakin merosakkan tatasusila parti-parti Melayu. Setiap kenyataan yang dibuat tidak pernah mendamaikan. Sebaliknya hanya menambahkan lagi keadaan yang sudah cukup parah.

Entah siapa yang boleh diharapkan untuk menyatukan parti Melayu ini atau mungkin biarkan sahaja parti Melayu berpecah belah, biarkan sahaja mereka berantakan sesama sendiri. Apa boleh buat kerana itu yang dimahukan oleh parti-parti Melayu.

Daripada tidak bersatu, sudah bersatu, daripada hilang kuasa sebagai kerajaan, sudah kembali jadi kerajaan, daripada berbalah berpuluh tahun sudah bertaut dalam sebuah muafakat.

Tetapi malangnya semua itu hancur sekelip mata, pertembungan akibat keegoan dua parti Melayu daripada ‘perut’ yang sama akhirnya akan meruntuhkan segala-galanya. Keadaan bertambah parah apabila ada pemimpin yang bertindak bukan demi mahu mempertahankan partinya tetapi lebih kepada kemahuan peribadi – yang tidak perlu dinyatakan.

Kalau betul mahu mempertahankan parti, kalau betul mahu memastikan perjuangan Melayu tidak berkubur, sudah pasti jalan perdamaian dicari tetapi masing-masing ego, masing-masing angkuh, masing-masing nak jadi anak jantan, kononnya biar mati bermaruah daripada mati dijajah. Hebat… sedap ayat, bagus niatnya tetapi sayang sekali tindak tanduk tidak menggambarkan kemuliaan hasrat itu.

Inilah wajah parti-parti Melayu sekarang tidak kira apapun nama parti Melayu itu dan tidak kiralah berapa jutapun ahlinya. Semua itu tiada maknanya kepada orang Melayu. Sebaliknya orang Melayu mungkin tidak perlu bergantung lagi kepada parti Melayu.

Mungkin selepas ini orang Melayu tidak perlu mengharapkan lagi kepada parti Melayu menyatukan mereka, mana mungkin ‘si ketam mengajar anak berjalan betul’. Lebih baik orang Melayu memilih sesiapa sahaja yang mereka mahu.

Tidak payahlah bercakap soal penyatuan Melayu atau perpaduan ummah dengan parti-parti Melayu ia hanya membazir masa. Kalau orang Melayu hendak bersatu, kalau ummah nak bersatu carilah pihak lain, banyak lagi NGO Melayu yang lebih ikhlas berjuang untuk mereka daripada parti Melayu.

Mungkin ada berhujah, perjuangan NGO tidak akan ke mana, kalau tidak ada kemahuan politik (political will), soalnya dari mana mahu mendapatkan ‘political will’ itu? Kalau parti-parti Melayu lebih sibuk menghabiskan masa bercakaran sesama sendiri bila masanya hendak memperjuangkan soal Melayu, soal ummah.

Lagipun bukankah parti-parti Melayu ini lebih menitik beratkan soal apa kata ahli akar umbi parti mereka? Sebab itulah bila akar umbi minta putuskan hubungan sesama parti Melayu, itulah keputusan yang dibuat.

Soal majoriti orang Melayu lain mahu lihat atau apa kemahuan orang Melayu lain, itu tidak penting, yang penting ahli-ahli akar umbi mereka.Lagipun pemimpin mereka tidak boleh buat keputusan, semua kena bergantung kepada ahli mereka putuskan.

Begitu juga dengan pemimpin yang dok buat gerakan perkukuhkan parti sendiri. Mereka tidak pedulipun kalau tindakan itu akan menghancurkan kesepakatan yang terjalin. Semua itu tidak ada dalam perkiraan. Yang penting kalau ada sekutu lebih kuat, sekutu itu mesti dilemahkan, biarpun dulu sekutu tu lah jadi tempat mereka berjuang sampai ke tahap sekarang.

Sepatutnya jangan bersikap begitu, janganlah buat perangai kawan makan kawan, tikam belakang atau ‘duri dalam daging, gunting dalam lipatan’. Kalau nak berpakat, pakat secara ikhlas, kalau nak berkawan, berkawan secara jujur, kalau nak bekerjasama pastikan bila tangan kanan hulur bersalam,jangan tangan kiri erat menggenggam keris di belakang.

Mungkin apa diperkatakan ini nampak keterlaluan, tetapi inilah hakikat yang berlaku kepada parti-parti Melayu bak kata kawan penulis, ‘’perpecahan semakin menguak. Pemimpin Melayu hal selisih kecil pun tak boleh selesai. Sentiasa cari alasan untuk berbalah.’

Kesimpulannya, setakat hari ini penulis tidak nampak parti-parti Melayu akan berupaya mencapai kesepakatan untuk memastikan mereka turun ke gelanggang PRU-15 sebagai satu pasukan. Bukan tidak boleh, boleh tetapi ia akan terus terhalang selagi di dalam parti-parti tersebut masih ada pemimpin yang sudah teruja dengan kuasa, yang masih mahu berkuasa dan yang semakin kemaruk mahu berkuasa.

Itulah belum lagi mengambil kira ‘kluster pengampu’, ‘kluster cari makan’ dan ‘kluster batu api’.

Justeru lebih baik, yang mana mahu bergabung, bergabunglah, yang mana mahu berjuang sendirian silakan, lepas tu kita tengok apa akan berlaku, jika selepas PRU-15, mereka terpaksa ‘menyembah’ pihak lain untuk berkuasa, redha sahajalah kerana ‘itulah pilihan mereka’.

Masa masih ada, insaflah sebelum terlambat.Carilah titik persamaan dan penyatuan, tiada yang mustahil jika semua mereka ikhlas mencarinya. UTUSAN TV

Tiada ulasan: