HALAMAN SANTAI

Sabtu, 6 Mac 2021

Demi lepaskan ‘tenggorok’, UMNO khianati perjuangan rakyat


Tak mustahil bekerjasama dengan DAP, perjuangan kini berasas individu


BANGI UMNO dan pemimpin parti itu hanya berjuang demi tenggorok atau kepentingan diri mereka sahaja, dakwa Ir Ts Lukman Al Hakim Mohamad.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) itu membangkitkan perkara tersebut setelah UMNO menarik diri daripada permuafakatan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau juga tidak menolak kemungkinan UMNO cuba menggunakan teknik ugutan kepada Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) setelah beberapa tuntutan rahsia mereka tidak atau gagal ditunaikan.

Selain itu, beliau mendakwa, UMNO kebarangkalian telah menemui titik persepakatan dan merancang untuk bekerjasama dengan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Dakwanya lagi, UMNO juga tidak mustahil akan melakukan kerjasama dengan parti rasis cauvinis, DAP dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Jika mereka (UMNO) benar-benar ikhlas dan inginkan kemaslahatan rakyat serta kestabilan negara, meneruskan komitmen bersama PN adalah jalan terbaik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan menghantar surat berhubung pendirian parti itu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 26 Februari lalu.

Surat yang dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Janda Baik, Pahang pada 19 Februari itu menyatakan bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

Bagaimanapun, parti itu menegaskan bahawa ia akan bekerjasama dengan PN hanya sehingga Parlimen dibubarkan.

Mengulas lanjut, Lukman berkata, tindakan UMNO itu membuktikan bahawa parti itu lebih mementingkan survival politik parti dan individu pimpinan mereka berbanding kepentingan rakyat serta kestabilan politik negara.

“Semua tahu bahawa UMNO tidak akan mampu memenangi PRU15 secara bersendirian dan menjadi kerajaan.

“Harapan UMNO untuk kembali menjadi kerajaan yang kuat secara bersendirian adalah umpama mimpi di siang hari,” katanya.

Pada masa sama, beliau mendakwa, tidak mustahil keputusan itu juga akan menyebabkan UMNO berpecah dengan sebahagian pimpinannya, yang mengambil pendirian untuk kekal bersama kerajaan PN.

Sekiranya perkara itu berlaku, jelasnya, ia akan menjadi perpecahan kali ketiga UMNO dalam sejarah kontemporari parti itu.

Beliau memberi contoh peristiwa perpecahan UMNO pada tahun 1997 telah melahirkan PKR, manakala insiden pada 2018 mewujudkan Bersatu.

Katanya, perpecahan UMNO yang juga parti orang Melayu di Malaysia amat merugikan, manakala parti kedua terbesar orang Melayu di negara ini, PAS pula akan berhadapan dengan keadaan sukar untuk membuat keputusan sekiranya parti itu terus dipujuk UMNO keluar daripada PN bagi membentuk pakatan baharu.

“Sudah tentu, perpecahan parti terbesar orang Melayu di Malaysia adalah amat merugikan. Parti kedua terbesar orang Melayu di Malaysia, PAS pula akan berhadapan keadaan amat sukar untuk membuat keputusan jika turut dipujuk UMNO untuk keluar PN dan membentuk pakatan baharu.

“Jika polemik ini berterusan, persaingan dalam PRU15 akan kembali terbuka luas kerana tiada mana-mana parti politik utama negara memiliki dominasi yang ketara dari segi bilangan kerusi Parlimen.

“Adakah fenomena ini akan membuka kepada satu peluang bagi parti baharu anak muda yang berwawasan dan berdaya saing untuk mengisi ruang kosong (vacuum) yang ditinggalkan?” soalnya

Tiada ulasan: