HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 Mac 2021

Pemuda BN desak kerajaan jelaskan jadi atau tidak Undi 18

Pemuda BN desak
Dr Asyraf Wajdi Dusuki mewakili Pemuda BN desak kerajaan jelaskan status Undi 18.

PEMUDA Barisan Nasional (BN) mendesak kerajaan segera menyatakan pendirian status pelaksanaan Undi 18 Tahun selepas polemik baharu timbul susulan kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim semalam.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan perlu menjelaskan hal ini agar rakyat terutama generasi muda tidak rasa terhina atau dikhianati dengan kenyataan bercanggah daripada pemimpin parti pemerintah.

Menurut beliau, kenyataan Rais yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahawa terdapat pelbagai kekangan untuk melaksanakan undi 18 tahun, walaupun selepas Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 adalah suatu yang amat mengecewakan.

“Ini pastinya bertentangan dengan kenyataan Menteri Undang-undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 3 November lalu yang menjelaskan di Parlimen bahawa pelaksanaan undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan Ketua Pemuda UMNO tersebut bertajuk Usah Berdalih Laksanakan Undi 18 Tahun.

Dr Asyraf pada masa sama berkata, Pemuda BN merasakan semacam wujud usaha untuk menggagalkan undi 18 automotik ini yang hakikatnya telah diluluskan setelah dipinda Perlembagaan dengan undian sebulat suara di Parlimen.

“Justeru tidak wajar untuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang juga Yang DiPertua Dewan Negara mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap satu dalih bahkan cubaan meremehkan anak muda berumur 18 tahun ke atas untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi,” jelasnya.

Kenyataan Rais pada satu program bual bicara semalam menimbulkan polemik dalam kalangan pemimpin politik kerana kerajaan sebelum ini menjelaskan yang Undi 18 tahun akan dilaksanakan selewat-lewatnya Julai ini.

Baca artikel berkaitan: Rakyat sudah ‘fed up’ untuk mengundi. Betul ke? | Berani Cakap Siri 8: Bahagian 3

Perkara itu dijelaskan Takiyuddin sendiri pada jawapan bertulis pada sidang Dewan Rakyat hujung tahun lalu.

Dalam laporan media sebelum ini, Takiyuddin berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini dalam proses melakukan beberapa persiapan untuk pelaksanaan perkara itu termasuk bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“SPR sedang bekerjasama dengan JPN melalui jawatankuasa Taskforce SPR dan JPN dalam persiapan melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik dan urusan lain yang berkaitan dan menjangkakan semua persiapan yang sedang diambil akan dapat disiapkan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan dari tarikh kelulusan pindaan oleh Dewan Negara pada 25 Julai tahun lalu,” katanya.

Tiada ulasan: