HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 Mac 2021

Saksi anggap tukar wang kepada cek perbuatan 'cuci duit'

Wang yang diterima pengurup wang, Omar Ali Abdullah, sebelum ditukarkan kepada cek-cek untuk Tetuan Lewis & Co dilihat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Fahmee Mohamad Nor, sebagai aktiviti “mencuci duit”.

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan balas perbicaraan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Mohd Fahmee disoal timbalan pendakwa raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong sebagai salah seorang pegawai penyiasat dalam kes itu. Mohd Fahmee diminta menjelaskan mengapa dia tidak merakam percakapan mana-mana wakil Yayasan Al-Bukhary yang dikatakan sebagai sumber wang diterima Omar.

Kata Mohd Fahmee rakaman percakapan tidak dibuat memandangkan ketika memberikan keterangan kepada SPRM, Omar mengaku tidak mengenali individu-individu “berpakaian kemas” yang memberikan wang kepadanya.

Kata Mohd Fahmee, Omar mengaku menerima wang itu atas arahan Ahmad Zahid.

“Sebagai pegawai penyiasat, saya melihat bahawa ini adalah proses mencuci duit dari sumber yang meragukan,” katanya yang merupakan saksi ke-95.

Isu sumber wang itu mula dibangkitkan dalam pemeriksaan balas peguam bela tertuduh, Ahmad Zaidi Zainal, sebelum itu.

Beli simpanan tetap bank

Ahmad Zaidi mempersoalkan mengapa Mohd Fahmee tidak merakam percakapan daripada Yayasan Al-Bukhary sedangkan Omar dalam pernyataan saksinya mengaku sumber wang yang diterimanya itu adalah derma daripada badan terbabit.

Ahmad Zaidi: Dalam pertuduhan ke-27, pertuduhan berkaitan Amla (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan hasil daripada activiti haram ), isu yang paling penting ialah sumber. Setuju?

Mohd Fahmee: Setuju.[...]

Ahmad Zaidi: Dalam pertuduhan ke-27 ini, sumber daripada sumbangan dan sebagainya adalah daripada Yayasan Al-Bukhari. Tetapi Encik Fahmee gagal merakam kenyataan daripada Syed Mokhtar Albukhary (pengasas dan pengerusi Yayasan Al-Bukhary), betul atau tidak?

Mohd Fahmee: Betul.

Dalam pertuduhan ke-27 pengubahan wang haram, Ahmad Zahid - antara Mac hingga Julai 2016 - didakwa mengarahkan Omar untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 kepada 35 keping cek.

Cek-cek itu kemudian dikatakan diserahkan kepada Lewis & Co untuk tujuan pembelian simpanan tetap di Maybank dan ia merupakan hasil aktiviti haram.

Sepanjang perbicaraan, pasukan pembelaan mencadangkan Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi, namun ia dinafikan oleh kedua-dua rakan kongsi Lewis & Co yang hadir sebagai saksi Ogos tahun lalu.

Omar yang hadir sebagai saksi ke-81 pada Julai tahun lalu memberitahu Ahmad Zahid ada memintanya menguruskan wang tunai ke akaun Yayasan Akalbudi, dan dia akan dihubungi penyumbang wang tunai daripada Yayasan Al-Bukhary. 

Pada 2016, kata Omar, Ahmad Zahid memintanya menguruskan kemasukan wang itu ke akaun Lewis & Co.

Menurut Omar dia tidak mengenali lelaki-lelaki yang berhubung dengannya, dan setiap urusan pemberian wang juga dilakukan oleh lelaki yang berbeza.

Omar berkata, untuk mendapatkan cek, dia akan bertanya kepada kawan-kawannya yang mahu menukar wang tunai kepada cek.

Tidak jumpa apa-apa resit

Bagaimanapun, tadi Ahmad Zaidi bertanya kepada Mohd Fahmee apakah dia tahu bahawa Omar mengaku tindakan menukar wang kepada cek itu dilakukan atas inisiatif sendiri dan bukan atas arahan Ahmad Zahid.

Mohd Fahmee menjawab “tahu”, dan bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa tindakan itu tidak dibangkitkan oleh Ahmad Zahid.

Ahmad Zaidi: Apa yang Datuk Zahid pernah (minta) lakukan - sekiranya benar - adalah untuk menguruskan kemasukan wang tunai ke dalam akaun Yayasan Akalbudi. Tak pernah disebut tolong masukkan cek ke (akaun) Yayasan Akalbudi, setuju? Berdasarkan jawapan Omar Ali?

Mohd Fahmee: Setuju.

Harris Ong ketika pemeriksaan semula meminta Mohd Fahmee menjelaskan hasil siasatannya mengenai dakwaan sumber wang yang dikatakan disumbangkan oleh Yayasan Al-Bukhary.

Harris Ong: Adakah hasil siastan anda mendapati wang tunai tersebut daripada Yayasan Al-Bukhary?

Mohd Fahmee: Tidak.

Harris Ong: Dan sepanjang siasatan, selain Omar Ali, adakah mana-mana saksi mengatakan wang itu datang daripada Yayasan Al-Bukhary?

Mohd Fahmee: Tidak. Malah dalam siasatan, kami (SPRM) tidak menjumpai apa-apa resit dari Yayasan Al-Bukhary ini.

Perbicaraan yang masuk hari ke-49 hari ini berlangsung di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah dan bersambung petang ini.

Tiada ulasan: