KUALA LUMPUR – Terlalu awal untuk memberi markah bagi keseluruhan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baharu berusia setahun jagung.
Bagaimanapun, pensyarah yang juga penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Jayum Jawan secara peribadi melihat Muhyiddin seorang yang baik dan ada kesungguhan dalam kepimpinannya.
Beliau juga melihat Perdana Menteri seorang yang prihatin apabila sentiasa berdoa untuk kesihatan dan keselamatan rakyatnya.
“Saya tidak pernah melihat perwatakan Muhyiddin pada beberapa Perdana Menteri sebelum ini. Saya fikir ada sesuatu yang unik mengenai dirinya.
“Mengenai markah, saya boleh bahagikan kepada dua peringkat. Kalau peringkat kepimpinan, tak ada masalah, saya boleh bagi A, tapi dari segi pelaksanaan, kalau di universiti dia kata “TL”, “Tidak Lengkap”.
“Kita masih menunggu nak lihat apa akan dilaksanakan di peringkat kementerian dan jabatan untuk mencapai matlamat ditetapkan dan dilancarkan,” katanya dalam wawancara Bicara Khas Politik PINTAR sempena setahun pemerintahan PN di sini, hari ini.
Ditanya, apa akan dilakukannya jika diberi peluang menjadi Perdana Menteri, Jayum berkata, beliau akan melantik Setiausaha Politik dari pelbagai etnik supaya dapat memahami budaya dan citra rasa orang Melayu, Cina, India, Kadazan Dusun dan Dayak.
“Kemudian, saya pendekkan tempoh menteri yang tidak perform dan arahkan Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian belajar memahami dasar saya, laksanakan dasar saya, jadi saya akan pantau.
“Dengan itu, saya rasa tiada apa masalah, Malaysia akan mencapai apa yang disenaraikan oleh Muhyiddin dalam dua dasar itu,” katanya.
Menjawab soalan moderator, Dr. Kamarul Zaman Yusoff, pensyarah itu berkata, tidak perlu lama sangat untuk ambil tindakan ke atas menteri yang tidak perform, cukup dengan kalau cakap salah, terus dipecat.
“Kenapa perlu tunggu beberapa bulan untuk mengambil tindakan, rakyat tidak boleh menunggu orang belajar jadi menteri. Bila dia jadi menteri dari hari pertama mereka boleh menjalankan tugas sebagai menteri.
“Kalau tidak tahu, belajar, baca buku, belajar daripada orang lain. Rakyat tak ada masa nak menunggu seseorang itu belajar nak jadi menteri. Tidak adil untuk minta rakyat menunggu dia pandai jadi menteri.
“Sebab itu dalam sistem demokrasi berparlimen, kena ada Kabinet bayangan sebagai tempat berlatih jadi menteri, supaya bila bertukar kerajaan, Kabinet bayangan ini akan terus menjadi Kabinet yang betul.
“Beginilah sistem di Britain dan Australia. Jadi, rakyat tidak perlu menunggu orang itu belajar jadi menteri kerana bila orang itu jadi menteri memang dia ada pengalaman, sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan