PUTRAJAYA – Pergerakan Wira Putra Malaysia membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini, berhubung dakwaan tawaran duit dan jawatan serta cubaan membeli Ahli Parlimen bagi menyokong Perdana Menteri.
Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, sayap parti itu terkejut dengan pendedahan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail yang mendakwa ada dua orang menemuinya dan cuba menyogok supaya berpaling tadah dari partinya.
Menurut beliau, nilai cubaan berpaling tadah ditawarkan kira-kira RM10 juta, selain dijanjikan jawatan.
“Kita melihat dakwaan ini amat serius dan menjejas integriti Perdana Menteri. Justeru, bagi menentukan kesahihan dakwaan ini, Wira Putra memohon SPRM menyiasat segera dengan memanggil dan merekodkan kenyataan mereka.
“Perdana Menteri juga perlu memberi penjelasan dengan dakwaan ini kerana turut melibatkan namanya. Tohmahan itu mencalar imej kerajaan dan institusi Parlimen Malaysia serta harus dibersihkan segera,” katanya.
Sebelum ini, Natrah mendakwa telah dikunjungi dua individu termasuk seorang bergelar ‘Dato’ Seri’ pada Rabu lalu.
Katanya, dalam pertemuan itu, mereka menceritakan bagaimana beliau telah melakukan kerja yang baik di Sekijang dan keinginan mereka untuk membantunya meneruskan usaha sebagai seorang Ahli Parlimen.
“Mereka bertanya apakah saya berminat untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta manfaat yang boleh diperolehi dengan pemberian sokongan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan