HALAMAN SANTAI

Rabu, 10 Mac 2021

Setia, ikhlas syarat berkawan dengan UMNO

Oleh WAT KAMAL ABAS
SAARANI Mohamad ketika melawat rumah kedai yang terbakar di Kampung Simpang 3, Kuala Kurau di Parit Buntar hari ini - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS.

PARIT BUNTAR: UMNO sedia berkawan dengan sesiapa sahaja asalkan setia dan ikhlas.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, itu pandangan beliau dalam berpolitik yang mana kesetiaan dan keikhlasan adalah syarat penting dalam memastikan kerjasama antara parti berterusan.

“Ini pendirian saya, dalam politik kena ramai kawan, kurang musuh. Apabila ramai kawan maknanya kena setia, kawan yang ikhlas, yang jujur.

“Siapa jujur dan ikhlas, boleh berkawan dengan saya, tak ikhlas saya tak mahu,” katanya selepas melawat kebakaran melibatkan tujuh buah rumah kedai di Kampung Simpang 3, Kuala Kurau, di sini hari ini.

Saarani yang juga Menteri Besar berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang membayangkan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sementara itu, mengenai kebakaran tujuh buah rumah kedai di Kampung Simpang 3, Kuala Kurau di sini, Pemangku Penolong Pengarah Kanan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Muhamad Syahrizal Aris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada pukul 2 petang.

Menurutnya, ketika anggota bomba tiba di lokasi , api sedang marak di tiga buah bangunan disebabkan cuaca panas dan tiupan angin.

“Seramai 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau, BBP Parit Buntar dan BBP Bagan Serai berjaya mengawal api daripada merebak ke bangunan berdekatan. Anggota bomba mengambil masa 40 minit untuk memadam kebakaran.

“Kejadian tidak melibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan. Lima unit rumah kedai terbakar antara 60 hingga 80 peratus manakala dua unit lagi hanya terbakar 10 peratus dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: