HALAMAN SANTAI

Sabtu, 6 Mac 2021

Tawaran berpaling tadah: SPRM mohon Ahli Parlimen PKR buat aduan

Kelmarin, Natrah Ismail memaklumkan beliau dijanjikan manfaat jika bersetuju 
untuk berpaling tadah daripada PKR. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail membuat aduan, susulan dakwaannya cuba dipujuk dua individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri supaya memberi sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

SPRM berkata, Natrah yang juga Ahli Parlimen PKR perlu membuat laporan kepada pihaknya, selaras Seksyen 25 Akta SPRM 2009 mengenai kewajipan melapor transaksi penyogokan.

“SPRM memohon agar Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan terdapat individu menyogok Ahli Parlimen berkenaan seperti yang tular di media sosial baru-baru ini segera tampil membuat aduan kepada SPRM.

“Sekiranya perkara itu benar-benar dianggap sebagai perlakuan rasuah. SPRM bersedia untuk menjalankan siasatan terhadap aduan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, Natrah memaklumkan beliau dijanjikan manfaat jika bersetuju untuk berpaling tadah daripada PKR.

Namun, beliau secara tegas menolak untuk memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin dan menyatakan sudah memaklumkan perkara itu kepada pucuk pimpinan PKR.

Pada 28 Feb lalu, dua wakil rakyat pembangkang, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon membuat akuan berkanun (SD) menyokong kerajaan PN.

Tiada ulasan: