HALAMAN SANTAI

Sabtu, 13 Mac 2021

Zuraida harap langkah Xavier dapat sedarkan MP pembangkang lain

MALAYSIAKINI

Malaysiakini 

Anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Zuraida Kamaruddin berharap langkah anggota Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar keluar daripada PKR dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan dapat mengubah sikap anggota parlimen pembangkang yang lain.

Bercakap kepada pemberita di sebuah acara di Bukit Antarabangsa, Selangor, Zuraida seakan tidak tahu yang Xavier telah keluar daripada PKR dan mengumumkan sokongan kepada PN hari ini.

"Mungkin dia sudah dapat kesedaran. Saya harap kesedaran itu adalah kesedaran yang tulen, insyaallah akan dapat bersama-sama kerja dengan kita, menolong membantu rakyat," kata Zuraida, yang juga anggota parlimen Ampang.

Zuraida berkata dia berharap keputusan Xavier itu akan mengubah sikap anggota parlimen pembangkang yang menurutnya "tidak rasional" dalam mengkritik kerajaan yang sedang berusaha membantu rakyat.

"Saya harap dengan kedatangan beliau, itu juga akan menyedarkan ahli-ahli parlimen (pembangkang) yang tidak rasional dari segi mengkritik kerajaan kerajaan.

"Saya harap dengan kemasukan YB Xavier, kalangan orang yang mungkin sangat keras dengan pembangkang mungkin akan mengubah sikap mereka," katanya.

Zuraida dan Xavier merupakan penyokong kem Azmin Ali pada pemilihan PKR yang berlangsung pada tahun 2018. 

Kedua-duanya memenangi kerusi bagi jawatan naib presiden.

Bagaimanapun Azmin dan Zuraida keluar daripada itu pada tahun lalu bagi menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional.

Jejak langkah mereka dituruti Xavier hari ini atas alasan kecewa dengan peristiwa yang berlaku dalam parti itu dan mahu mengelakkan berlaku pilihan raya umum (PRU).

Xavier berkata tumpuan pada masa ini harus berikan kepada usaha menangani pandemik Covid-19 serta memulihkan semula ekonomi negara, dan bukannya dengan mengadakan PRU.

Keputusan Xavier untuk keluar PKR dibuat tidak sampai sebulan selepas Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Chong mengisytiharkan keluar daripada parti itu bulan lalu.

Perkembangan terbaru ini menyaksikan PKR kini hanya memiliki 35 kerusi parlimen berbanding 47 kerusi yang dimenanginya pada PRU lepas.

Tiada ulasan: