HALAMAN SANTAI

Selasa, 15 Jun 2021

UMNO tolak PRU semasa pandemik, bantu kerajaan sekat Covid-19


Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. 
 
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak wajar diadakan semasa negara masih bergelut dengan penularan Covid-19 sebaliknya UMNO perlu bersama membantu kerajaan, kata Pengarah Pilihan Raya UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin menyifatkan sekiranya PRU15 diteruskan atas desakan pihak tertentu yang mempunyai kepentingan diri sendiri ia akan membantut usaha diambil kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19 yang melanda negara.

“Seharusnya ahli UMNO membantu kerajaan dalam usaha memberi fokus mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan virus Covid-19.

“Saya sebagai pengarah Pilihan Raya UMNO percaya kita semua perlu komited untuk terus membantu kerajaan menjayakan agenda negara dan membebaskan rakyat daripada pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Selari dengan pendirian tersebut, Tajuddin berkata UMNO perlu mengalih tumpuan jentera pilihan raya di seluruh negara untuk membantu kerajaan menangani Covid-19 dan tidak menumpukan kepada kempen politik pada waktu sukar sekarang.

“Peranan jentera pilihan raya UMNO di negeri dan Parlimen yang bersedia hadapi PRU15 pada waktu ini, seharusnya digembleng untuk membantu kerajaan mengekang Covid-19,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Tajuddin, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, berkata semua pihak perlu fokus kepada isu keselamatan dan kesejahteraan rakyat yang lebih kritikal ketika ini dalam berdepan angka tinggi jangkitan kes positif Covid-19 sekali gus tidak perlu berpolitik sepanjang masa.

Beliau berkata seramai 3.5 juta ahli UMNO di seluruh negara boleh digerakkan bagi membantu kerajaan melandaikan lengkung rantaian Covid-19 dan pada masa sama, membolehkan mereka yang terkesan dengan pandemik itu berupaya meneruskan kehidupan seperti sedia kala.

Tiada ulasan: