HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Oktober 2021

4 ADUN adalah wira jatuhkan kerajaan Melaka: Anwar

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim membela empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka dengan menyifatkan mereka sebagai wira kerana keberanian membawa perubahan sehingga menumbangkan kerajaan negeri dipimpin UMNO.

Ketua Pembangkang itu mempertahankan langkah menjemput empat ADUN dalam program bersama Majlis Pakatan Harapan (PH) Melaka pada malam Isnin baru-baru ini sebagai tanda penghargaan kepada mereka, namun menegaskan isu berhubung sama ada akan diletak sebagai calon atas tiket gabungan itu belum dimuktamadkan lagi.

“Kita jemput mereka dalam majlis malam itu kerana dia (mereka) yang mengambil langkah untuk membawa perubahan di Melaka dan masa itu PH Melaka menyokong (mereka).

“Jadi bagi kita sekadar ucapkan terima kasih kepada dia (mereka) itu saja tetapi soal pilihan raya itu soal lain pula,” kata yang dipetik dalam laporan media semasa ditemui di Port Dickson.

Empat ADUN yang diketuai bekas Ketua Menteri (KM), Datuk Seri Idris Haron hadir dalam program bersama Anwar di sebuah hotel baru-baru ini dan menaruh harapan akan dapat bertanding atas tiket PH.

Sebelum ini juga, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan empat ADUN tersebut sejurus jatuhnya kerajaan negeri yang dipimpin UMNO itu.

Tiga lagi ADUN yang hadir adalah adalah Datuk Nor Azman Hassan(Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Tindakan empat ADUN tersebut menjadi punca kejatuhan kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan terpaksa diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimanapun, tindakan Anwar tersebut tidak disenangi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang secara terang-terangan berkata bahawa partinya tidak akan menerima jika Norhizam dinamakan semula sebagai calon untuk PH ia selepas tindakannya sebelum ini yang bertindak keluar parti itu.

Untuk rekod, Norhizam sebelum ini bertanding atas tiket DAP semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penamaan calon PRN Melaka pada 8 November manakala undi awal pada 16 November dan hari mengundi 20 November.

Tiada ulasan: