HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Oktober 2021

Anwar beri isyarat PH akan terima 4 bekas ADUN sebagai calon


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi isyarat bakal menerima empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menjadi punca krisis politik untuk diletak sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Anwar berkata Pakatan Harapan (PH) sedang menimbang secara teliti dan mengambilkira semua pandangan sebelum keputusan dimuktamadkan berhubung permohonan empat ADUN itu yang menyatakan kesediaan untuk menyokong gabungan itu.

“Mengenai empat bekas ADUN itu ada dibincangkan (dalam mesyuarat Majlis Presiden PH).

“Namun, tiada apa-apa permohonan, maka perkara itu tidak dipanjangkan,” kata Anwar selepas mesyuarat Majlis Presiden PH malam ini.

Berhubung tentangan DAP yang enggan menerima empat ADUN tersebut, Anwar berkata ia hanya perkara kecil dan memahami kebimbangan yang disuarakan oleh parti tersebut.

“Kita faham (kenyataan DAP) itu. Oleh kerana perkara itu belum ke tahap perbincangan serius, kita tunggu,” katanya lagi.

Empat bekas ADUN tersebut terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang); Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu); Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor).

Baru-baru ini, semua empat bekas ADUN itu bertemu dengan Presiden PKR, Anwar di sebuah hotel dan menyatakan kesediaan untuk bertanding atas tiket parti tersebut.

Kerajaan Melaka tumbang pada 4 Oktober lalu selepas empat bekas ADUN berkenaan umum hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka.

Susulan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka dan hari penamaan calon pada 8 November serta tarikh mengundi awal pada 16 November dengan tempoh berkempen selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 19 November.

Tiada ulasan: