HALAMAN SANTAI

Khamis, 14 Oktober 2021

Dakwaan ‘kelirukan’ Dewan Rakyat, Azhar minta Wee perjelas, kemuka bukti

Lim Guan Eng (kanan) mahu Wee Ka Siong dirujuk kepada Jawatankuasa Hak 
dan Kebebasan kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggap mengelirukan 
Dewan Rakyat ketika sesi jawab lisan pada 30 Sept lalu.

PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun meminta Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong memberi penjelasan berhubung dakwaan pembangkang beliau membuat kenyataan mengelirukan di Parlimen pada 30 Sept lalu.

Dalam surat kepada Wee, Azhar berkata, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng mahukan menteri itu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas kenyataannya berhubung isu dasar kabotaj dan projek dasar laut Apricot.

“Sehubungan itu adalah dipohon agar yang Yang Berhormat Datuk Seri (Wee) dapat memberikan penjelasan terhadap perkara ini dan menyertakan bukti atau dokumen yang menyokong penjelasan tersebut,” kata Azhar dalam surat itu.

Kenyataan Ahli Parlimen Ayer Hitam itu mengenai isu dasar kabotaj sebelum ini menimbulkan perdebatan antara beliau dan Lim di Dewan Rakyat.

Wee menjelaskan, Malaysia tidak terlibat dengan projek berkenaan disebabkan pelbagai faktor termasuk tawaran yang diberikan dan syarat ditetapkan oleh syarikat teknologi.

Beliau juga berkata, dasar kabotaj tidak boleh disalahkan sebagai satu-satunya faktor kenapa Malaysia tidak terlibat dalam projek terbabit.

Wee juga memberi respons kepada bekas Ketua Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Rais Hussin yang mengatakan dasar kabotaj mengakibatkan negara kerugian RM12 hingga RM15 bilion dalam projek kabel dasar laut dan pelaburan luar negara.

Katanya, dasar kabotaj hanya berlaku dalam konteks kerja-kerja pembaikan, bukannya pemasangan.

Namun, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam jawapan bertulis pada 5 Okt berkata, pilihan negara yang mengambil bahagian dalam rancangan Apricot dibuat oleh Facebook dan Google.

“Malaysia tidak tersenarai (bypass) sebagai salah satu negara yang terlibat dalam pendaratan stesen kabel dasar laut tersebut memandangkan isu pengecualian dasar kabotaj yang masih belum selesai,” katanya.

Lim berkata, itu adalah bukti Wee mengelirukan Dewan Rakyat.

Tiada ulasan: