Bernama
Datuk
Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata dua perkara penting perlu
dilakukan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 boleh
diadakan. - Gambar fail
KUCHING:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk
Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata dua perkara penting perlu
dilakukan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 boleh
diadakan.
Beliau berkata pertamanya,
Proklamasi Darurat (Sarawak) yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan
Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang
berkuat kuasa sehingga 2 Feb 2022 disingkatkan atas perkenan Seri Paduka
jika diperlukan.
"Kedua,
PRN Sarawak boleh diadakan kalau Seri Paduka bersetuju dengan
persetujuan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud bersama
kerajaan negeri dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari
Tun Openg dicapai," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah
pembinaan Masjid Mutiara Iman di sini hari ini.
Pada
31 Julai, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan Proklamasi Darurat
(Sarawak) mulai 2 Ogos 2021 sehingga 2 Feb tahun depan, sekali gus
menggantung PRN daripada diadakan dalam tempoh berkenaan berikutan wabak
COVID-19 yang telah mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan
ketenteraman awam.
Menurut Fasal (3)
Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) itu
sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas, namun fasal berkenaan tidak
mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa
Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN itu.
Bagaimanapun,
Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 yang
dikeluarkan berikutan Proklamasi Darurat Sarawak itu, menyatakan Seri
Paduka boleh menamatkan proklamasi itu lebih awal setelah berunding
dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan