HALAMAN SANTAI

Ahad, 17 Oktober 2021

MIC cadang yayasan ditubuh di bawah Mitra

Bernama
MIC cadang yayasan ditubuh di bawah Mitra
Vigneswaran menafikan MIC menerima peruntukan dana Mitra dan mengalu-alukan tindakan SPRM membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana itu. - Gambar fail BERNAMA
 
KUALA LUMPUR: MIC telah mengemukakan cadangan kepada Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique bagi penubuhan yayasan di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) supaya peruntukan ke unit itu tidak ditarik balik sekiranya tidak digunakan pada tempoh ditetapkan.
 
Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata sistem perbendaharaan negara menetapkan sebarang peruntukan yang tidak digunakan atau dibelanjakan oleh mana-mana kementerian pada tempoh ditetapkan akan diambil semula bagi membiayai program lain.
 
"Pada tahun ini sahaja banyak program yang ditangguh sebab tidak boleh bersemuka (fizikal), kita dalam norma baharu...maka penilaian tidak boleh dibuat untuk program yang telah memohon dana.
 
"Dana itu kalau tak diguna pakai akan ditarik, saya merasakan ini (penubuhan yayasan) permintaan yang munasabah kerana duit ini bukan untuk kementerian tetapi khusus untuk sebuah (satu) kaum," katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di sini semalam.
 
Mitra yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara merupakan sebuah unit khas bertanggungjawab dalam menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia khususnya golongan B40.
 
Sementara itu, Vigneswaran menafikan kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa parti MIC menerima peruntukan dana Mitra dan mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana itu.
 
"Tidak ada dana yang disalurkan kepada MIC, kita pun tidak mengharapkan dana daripada Mitra untuk menjalankan aktiviti politik MIC," katanya.
 
Pada 15 Okt, SPRM dalam kenyataan memaklumkan telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana itu dan menyatakan siasatan menyeluruh akan dibuat.-- BERNAMA

Tiada ulasan: