HALAMAN SANTAI

Isnin, 18 Oktober 2021

Muslimat ikrar pertahan kemenangan DUN Beserah PRU15

 HARAKAH DAILY

Muslimat

INDERA MAHKOTA: Muslimat mesti menjadi tenaga penting untuk terus mempertahankan kemenangan PAS hampir 20 tahun di DUN Beserah pada PRU15 nanti, demikian seru Ketua Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota, Salwani Salleh.

Ikrar dan penegasan itu diucapkannya dalam membangkitkan semangat para perwakilan pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Dewan Muslimat PAS Indera Mahkota di Dewan Sekolah Agama Balok, Kuantan, di sini baru-baru ini.

Beliau menyeru untuk Muslimat terus memupuk semangat kebersamaan dalam jemaah demi memperkukuhkan parti untuk terus maju dan sentiasa mencari titik persamaan dan bukannya perbezaan demi mencapai kejayaan.

“Muslimat hendaklah sentiasa berusaha menambah ilmu dalam bidang-bidang tertentu demi meningkatkan kemampuan sebagai pimpinan dan juga ahli PAS,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan para perwakilan dan Ahli Jawatankuasa yang hadir seramai 112 orang dalam MAT tersebut terhadap matlamat utama perjuangan Islam adalah untuk meninggikan kalimah Allah iaitu melaksanakan Syariat Allah.

“Kita berada dalam PAS ini bukan kerana hendakkan jawatan atau dipandang hebat di mata manusia tetapi kita menyedari bahawa tuntutan sebenarnya supaya Islam memimpin seluruh suasana dan kekuasaan pemerintahan agar manusia dapat melihat kehebatan dan keagungan Islam.

“Lalu mereka akan menerima Islam sama ada sebagai agama anutan atau sebagai pemerintahan yang adil secara sukarela. Maka tuntutan ini hendaklah kita penuhi dengan bersama-sama di dalam satu barisan yang kukuh,” tambah beliau lagi.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat Negeri Pahang menyatakan bahawa Mesyuarat Agung adalah satu medan muhasabah menilai perjalanan jemaah untuk diambil iktibar bagi melangkah ke hadapan.

Menurutnya lagi, perbezaan pendapat dalam Mesyuarat Agung Tahunan itu adalah satu perkara yang biasa, tetapi perlulah diurus dengan baik, kerana jika hanya satu pendapat, parti tidak akan bergerak maju.

Mesyuarat Agung pada tahun ini telah membuat pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja bagi sesi 2021-2023 di mana keputusan pemilihan adalah kekal dengan penyandang sesi lalu mengekalkan Salwani selaku Ketua Muslimat.

Timbalan Ketua Muslimat juga kepada Azmoni Mohamad dan Naib Ketua Muslimat, Salbiah Seeni Abdul, manakala lapan orang jawatankuasa kerja juga adalah penyandang yang sama.

Majlis Pra-Mesyuarat telah dimeriahkan dengan penyampaian enam anugerah iaitu, Anugerah Hawariyyun (JMC Cemerlang) kepada JMC Bandar Damansara Kuantan dan Anugerah Jasamu dikenang kepada Noraini Abu Samah.

Anugerah Serikandi (Muslimat Cemerlang) kepada Hasnah Arshad dan Anugerah Asma’ Abu Bakar (Muslimat Muda Cemerlang) kepada Siti Hamidah Radhyiah Sheikh Mahmud, serta Anugerah Mujahidah Siber Cemerlang Noraini Raffar dan Anugerah Khas Ketua Muslimat kepada Wan Haniza Wan Mohamad.

Mesyuarat Agung ini telah dirasmikan secara berkelompok bersama dengan Dewan dan Cawangan-cawangan PAS Indera Mahkota pada 17 September 2021 dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: