HALAMAN SANTAI

Sabtu, 16 Oktober 2021

PAS ikuti rapat kes kematian Adib, nafi abai lepas jadi kerajaan


PAS sentiasa mengikuti rapat perkembangan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dan menafikan dakwaan parti itu mengabaikan perkara berkenaan selepas menjadi kerajaan. 

Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata, parti berkenaan sebelum ini telah mengambil pelbagai langkah bagi menjaga kebajikan keluarga bekas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat berkenaan.

“Mereka yang cakap PAS senyap mengenai isu Adib (sebenarnya) tak mengikuti perkembangan kami secara dekat. 

“Boleh rujuk tindakan yang kami lakukan melalui laman web dan Instagram Pemuda PAS,” katanya lapor Harakahdaily. 

Selain itu Khairil Nizam juga menjelaskan PAS tidak boleh mencampuri urusan siasatan yang dijalankan pihak berkuasa kerana negara ini mempunyai undang-undang.

Khairil yang juga menjadi Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata negara ini mengamalkan pemisahan kuasa di antara badan legislatif dan eksekutif.

“Apa pasal PAS nak masuk campur dalam hal rule of law (kedaulatan undang-undang)? Ia di bawah tanggungjawab pihak berkuasa.

“Kita ada separation of power (pemisahan kuasa). Apabila kita dah jadi kerajaan, kita nak masuk campur, mana boleh, tak adil,” katanya lagi.

Muhammad Adib merupakan anggota bomba dan penyelamat yang meninggal dunia pada 17 Disember 2018 selepas mengalami kecederaan parah ketika bertugas di Subang Jaya ekoran rusuhan yang berlaku di sebuah kuil di Seafield. 

Inkues yang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian Muhammad Adib memutuskan dia meninggal dunia akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Bagaimanapun sehingga kini tiada mana-mana pihak atau individu didakwa atas tuduhan membunuh Muhammad Adib.

Tiada ulasan: