HALAMAN SANTAI

Ahad, 17 Oktober 2021

PAS mahu bertanding PRN Melaka

 Ainul Illia

Mahu bersama semua parti yang ada dengan Kerajaan Persekutuan

KOTA BHARU – PAS akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri Melaka, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan

Beliau berkata, partinya akan meletakkan beberapa calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Katanya, untuk rekod pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, PAS secara solo bertanding di 23 kerusi daripada 28 kerusi di Melaka.

Bagaimanapun, untuk PRN kali ini, PAS belum membuat keputusan mengenai bilangan kerusi yang bakal dipertandingkan.

“Walaupun kita tidak menang PRU lalu, tetapi PAS menunjukkan prestasi yang baik di beberapa DUN yang kita bertanding. Kita dapat kerusi yang agak ‘steady’,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Beliau berkata demikian di Program Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kota Bharu kali ke-54 di Hotel Grand River River di sini, hari ini.

Takiyuddin berkata, bagi menghadapi PRN Melaka, PAS juga menubuhkan Jawatankuasa Induk PRN Melaka.

Ia dipengerusikan oleh Naib Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar manakala Jawatankuasa Operasi diketuai oleh salah seorang daripada Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

“Jadi kita akan mengambil bahagian dan macam mana konsep itu belum diputuskan lagi. Saya sebagai Setiausaha Agung boleh sahkan,” katanya.

Namun, katanya, pelaksanaan PRN Melaka akan berteraskan muafakat sebagaimana yang ada di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Kita akan bersama dengan semua parti yang ada dengan Kerajaan Persekutuan dan tidak ada pertembungan antara satu sama lain,” katanya.

Tiada ulasan: